Projek fertigasi cili bara bantu ubah hidup golongan rentan

Para peserta projek fertigasi bertungkus lumus memasang perkakasan fertigasi membabitkan 2,000 polibag.
Para peserta projek fertigasi bertungkus lumus memasang perkakasan fertigasi membabitkan 2,000 polibag.
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dapur Infaq Ummah Kuantan telah membangunkan projek tanaman fertigasi cili bara kepada lima golongan rentan sebagai salah satu usaha meningkatkan taraf hidup mereka.

Pengasas pertubuhan itu, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, projek rintis ini dilaksanakan awal bulan lalu bagi membantu mereka berdikari sekali gus mengubah landskap kehidupan.

Menurutnya, sebagai permulaan sebanyak 2,000 polibag digunakan dan pihaknya kini dalam proses mempersiapkan peralatan dan perkakas fertigasi sebelum projek itu dilaksanakan.

"Kita tidak sangka idea untuk membantu golongan rentan kawasan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar di sini mendapat perhatian daripada kerajaan Pahang yang sudah menyumbang pelbagai bentuk bantuan bagi projek terbabit.

"Malah, beberapa agensi dan NGO seperti Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Yayasan Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) turut membantu NGO yang dikendalikan oleh kami melaksanakan projek ini," katanya ketika ditemui di tapak Projek Tanaman Fertigasi Cili Bara bagi komuniti rentan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah pada Rabu.

Peserta yang terlibat mempersiapkan perkakas fertigasi sebelum proses penanaman anak pokok cili bermula.
Peserta yang terlibat mempersiapkan perkakas fertigasi sebelum proses penanaman anak pokok cili bermula.

Badrul Jamili memaklumkan, projek penanaman itu membuka peluang pekerjaan kepada peserta yang berminat untuk mengubah sosio ekonomi mereka lebih baik.

Melalui projek ini, katanya peserta berpeluang memperoleh pendapatan lumayan bagi menjamin kehidupan mereka pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pertama projek ini dijangka dapat dituai menjelang penghujung November dan awal Disember tahun ini dengan anggaran sekitar 600 kilogram cili bara sebulan.

"Secara kasarnya, setiap peserta memperoleh pendapatan kira-kira RM2,000. Kita yakin dengan mendapat sebanyak itu mampu memberikan kehidupan baharu buat mereka," ujarnya

Dalam pada itu, Badrul Jamili memberitahu, aktiviti penanaman cili ini akan diperluaskan sekiranya projek rintis membabitkan lima peserta ini berjaya.

"Kita latih mereka untuk menjadi seorang usahawan melalui projek fertigasi inilah. Jika berjaya mereka boleh mengajak rakan-rakan lain untuk melaksanakan projek penanaman seumpamanya di kawasan lain.

"Kita amat yakin lebih ramai golongan rentan berminat untuk menjadi usahawan tani selepas melihat kejayaan lima rakan mereka ini," katanya yang menyifatkan projek ini unik kerana lokasi penanaman cili ini terletak di tengah-tengah bandar Kuantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!