Pinjam ketuhar jiran mula bisnes kek, roti
KOTA BHARU – Sepasang suami isteri sanggup mengenepikan rasa malu dengan meminjam ketuhar daripada jiran untuk menyiapkan tempahan kek dan roti kerana ketuhar yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah yang banyak.
Mohd Shafiq Azrul Shamsudin, 35, dan isterinya, Nur Fatiha Mohd Yasim, 36, nekad menjadikan hobi dan minat mereka membuat kek dan roti sebagai sumber rezeki sejak Jun lalu apabila kedua-dua mereka diberi cuti sementara daripada bertugas sebagai Pegawai Amanah Ikhtiar Malaysia.
Bapa kepada lima anak itu memberitahu, sebelum ini aktiviti membuat kek dan roti hanya menjadi kerja sampingan jika ada rakan yang menempah.
Bagaimanapun selepas sambutan Hari Raya Aidiladha, tempahan yang diterima semakin memberangsangkan.
“Disebabkan tempahan banyak, saya terpaksa meminjam pembakar daripada jiran yang juga rakan kami kerana pembakar sedia ada tidak mampu untuk menampung pembakaran dalam jumlah yang banyak,” katanya.
“Saya tidak malu dan jiran pun semua baik hati beri pinjam sebab mereka tahu kami masih belum mampu untuk beli ketuhar yang lebih besar.
"Alhamdulilah, berkat perkongsian ini, rezeki kami bertambah, insya-ALLAH, saya nak beli pembakar baharu nanti,”katanya kepada pemberita di kediamannya di Padang Tambak di sini pada Rabu.
Menurutnya, pulut kuning, kek pisang, roti sarang lebah dan mufin pelbagai perisa antara fokus utama dia dan isteri ketika ini memandangkan mereka masih di peringkat amatur.
Bagi memantapkan kemahiran dan meningkatkan pengetahuan, isterinya menyertai kelas pembuatan kek dan roti dalam talian.
"Kami pernah gagal beberapa kali, buat roti, berkilo-kilo gandum rugi, tapi inilah asam garam kehidupan, namun kami tetap hadapinya. Ini kerana kami mahu lakukan yang terbaik untuk pelanggan kami, kualiti dan rasa itu sangat penting.
"Modal kami juga agak tinggi sebab isteri menggunakan barang berkualiti. Namun itu bukan ukuran, apa yang penting pelanggan puas hati dan aktiviti pembuatan makanan ini pun satu sedekah, kami tidak pernah berkira," katanya.
Guna WhatsApp perkenalkan roti, kek
Mengulas lanjut, Nur Fatiha memberitahu, dia hanya menjual serendah RM3 untuk kek pisang dan yang paling mahal adalah pulut kuning pada harga RM60 sekilogram bersama seekor rendang ayam.
Menurutnya, dia dan suami tidak mempunyai perancangan pemasaran yang terperinci, hanya melalui penggunaan aplikasi WhatsApp sahaja mereka perkenalkan roti dan kek buatan mereka.
"Kami guna WhatsApp saja untuk buat promosi dan kenalkan kepada rakan-rakan, mereka yang tempah pun bukan kenalan kami, memang mereka tahu daripada perkongsian rakan-rakan.
"Alhamdulilah, kami tidak segan untuk beralih kepada pembuatan roti dan kek dan kami yakin apa sahaja rezeki yang ALLAH kurniakan, kami terima.
"Apa yang penting, jangan takut untuk berusaha dan jangan takut gagal, ia merupakan permulaan untuk satu kehidupan yang lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!