Griezmann sasar 100 perlawanan lagi bersama Barca

Antoine Griezmann. Foto: Football Espana
Antoine Griezmann. Foto: Football Espana
A
A
A

PENYERANG Barcelona, Antoine Griezmann menegaskan dia mahu beraksi dalam 100 perlawanan lagi buat skuad Blaugrana itu dalam usahanya melakar sejarah tersendiri bersama kelab berkenaan.

Menurut pemain Perancis berusia 30 tahun itu, dia juta telah menolak beberapa tawaran daripada kelab-kelab terkemuka yang berminat mendapatkan khidmatnya sejak kebelakangan ini.

“Sebenarnya, sejak tiba di Nou Camp, saya sudah bertekad untuk beraksi dalam tempoh yang lama dengan kelab ini.

“Saya juga mahu terus membantu Barca, samada di dalam padang mahu pun di luar padang, di benteng pertahanan, tengah dan juga jentera serangan pasukan. Saya benar-benar gembira dengan kelab ini.

“Oleh itu, jika saya berjaya mencapai sasaran untuk beraksi dalam 100 perlawanan lagi dengan Barca, ia adalah sesuatu yang luar biasa” katanya.

Untuk rekod, setakat ini Griezmann telah beraksi 78 perlawanan bersama Barcelona dalam saingan La Liga, Liga Juara-Juara (16 perlawanan), Copa del Rey (sembilan) dan tiga perlawanan bagi Piala Super Sepanyol.

Selain itu Griezmann turut menjaringkan 35 gol dalam kesemua perlawanan berkenaan sejak berpindah dari Atletico Madrid pada musim 2019 lalu.

Situasi berkenaan menyaksikan Griezmann hanya memerlukan 14 gol lagi bagi menyamakan kedudukan dengan rekod bekas penyerang Barca, Thierry Henry yang meledak 49 gol dengan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai tindakan Barca melepaskan beberapa pemain dalam usaha menyelamatkan kedudukan kewangan kelab, Griezmann berkata, dia sangat mengharapkan untuk tidak tersenarai dalam usaha berkenaan.

Sementara itu Presiden Barcelona, Joan Laporta berkata, dalam keadaan kewangan yang meruncing ketika ini, Griezmann sememangnya tersenarai sebagai pemain yang bakal dilepaskan kelab berkenaan.

Bagaimanapun katanya, keputusan untuk melepaskan Griezmann perlu dibuat dengan teliti berikutan jendela perpindahan pemain baharu sahaja bermula.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk sesebuah kelab membuat tawaran bagi mendapatkan pemain yang diingini, apatah lagi baig mendapatkan pemain yang berada pada tahap terbaik seperti Griezmann.

“Namun difahamkan, permintaan bagi mendapatkan khidmat Griezmann sentiasa ada,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!