Polis tunggu keputusan DNA tiga mayat rentung

Polis menunggu keputusan sampel DNA bagi pengesahan identiti mayat yang rentung dalam kemalangan pada awal pagi 16 Ogos lalu.
Polis menunggu keputusan sampel DNA bagi pengesahan identiti mayat yang rentung dalam kemalangan pada awal pagi 16 Ogos lalu.
A
A
A

GEORGETOWN- Polis akan mendapatkan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) waris kepada tiga mayat yang rentung dalam kemalangan pada awal pagi 16 Ogos lalu bagi pengesahan identiti.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tiga keluarga yang mendakwa waris kepada ketiga-tiga mayat itu telah tampil untuk membuat pengecaman pada jam 1.30 petang, Rabu.

Bagaimanapun pengecaman tidak dapat dibuktikan susulan barang peribadi kesemua mayat itu tiada ciri-ciri pengenalan khas.

Katanya, pemeriksaan doktor mengesahkan jantina tiga mayat itu adalah dua lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an.

"Pengecaman mayat tidak dapat membuktikan bahawa mereka yang hadir merupakan waris kepada kesemua mangsa kerana barang peribadi yang diperoleh daripada ketiga-tiga mayat tidak cukup dan tiada ciri-ciri pengenalan khas pada kesemua mangsa yang boleh membantu pengecaman.

"Pihak Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) telah mengambil sampel DNA daripada setiap waris mangsa untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesahan identiti mayat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Soffian berkata, hasil bedah siasat terhadap ketiga-tiga mayat mengesahkan punca kematian adalah terbakar pada seluruh badan selepas kemalangan jalan raya.

"Sementara menunggu keputusan DNA daripada Jabatan Kimia, ketiga-tiga mayat disimpan di bilik mayat di Jabatan Forensik HPP.

Artikel Berkaitan:

"Mayat akan disimpan di situ sehingga pengesahan DNA diperoleh dan selepas itu, mayat akan diserahkan kepada ahli keluarga," katanya.

Sebelum ini, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan yang mengorbankan tiga individu di Jalan Masjid Negeri, di sini awal pagi Isnin untuk tampil memberi maklumat.

Dalam kejadian itu, tiga individu maut selepas kereta jenis Toyota Vios dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebatang pokok dan terbakar di simpang tiga Jalan Masjid Negeri pada jam 3.05 pagi.

Siasatan di lokasi kejadian mendapati, kereta tersebut terbakar 90 peratus namun pihak bomba berjaya memadamkan api pada jam 3.20 pagi.

Soffian berkata, hasil pemeriksaan awal pada kenderaan berkenaan, terdapat tiga mayat masih berada di tempat duduk kereta iaitu, seorang di bahagian pemandu, seorang di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dan seorang lagi di bahagian tempat duduk belakang.

Katanya, kesemua mangsa dalam keadaan rentung hampir 90 peratus telah berjaya dikeluarkan daripada kereta pada jam 5.40 pagi dan kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Beliau berkata, polis gagal mengenalpasti identiti ketiga-tiga mangsa susulan mangsa dan kereta tersebut terbakar hampir 100 peratus.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!