Mohon Agong guna kuasa eksekutif isytihar darurat politik terhad
SHAH ALAM - Gabungan Melayu (Gabung) yang mewakili lebih 100 NGO Melayu-Islam kebangsaan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan kuasa eksekutif bagi mengisytiharkan darurat politik terhad sehingga lapan bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh dilaksanakan.
Koordinator Gabung, Ahmad Yazid Othman berkata, langkah itu wajar sekiranya kerajaan perpaduan tidak berjaya ditubuhkan jika majoriti yang kuat tidak dapat diperoleh bagi memilih seorang Perdana Menteri.
Menurutnya, dalam tempoh yang disifatkan selamat sementara mencapai imuniti kelompok, Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan perintah darurat politik terhad yang berfungsi dengan Penubuhan Majlis Khas Pemulihan Krisis Negara (Pulih) yang akan terbubar sebaik sahaja PRU15 dimuktamadkan.
"Antara lain, Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan perintah di bawah Pemulih iaitu memastikan tiada kelebihan pada mana-mana parti politik atau individu pada PRU15, anggota Pulih yang dipilih tidak akan dibenarkan bertanding pada PRU15.
"Keanggotaan Pulih juga adalah terhad kepada bekas penjawat awam, profesional atau negarawan yang memiliki rekod serta keperibadian yang bersih dan terpuji.
"Penubuhan Majlis Penasihat Pulih yang akan dianggotai tokoh-tokoh yang mewakili semua parti politik dan akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong atau lantikan Seri Paduka Baginda," katanya kepada media selepas sesi penyerahan memorandum 'Warkah Rakyat' di Istana Negara pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad Yazid berkata, bawah perintah Yang di-Pertuan Agong juga, Pulih mampu berfungsi mencari penyelesaian kepada krisis-krisis nasional yang melibatkan kesihatan, ekonomi, pendidikan, kewangan, sistem politik dan perlembagaan.
Ujarnya, Pulih juga akan menerus serta menambah baik program pemulihan Covid-19 untuk menangani krisis wabak Covid-19 secara tuntas serta memberi apa jua bantuan kepada rakyat dan pengusaha kecil sederhana (PKS) bagi membantu mereka.
"Pulih akan merangka satu dasar jangka pendek dan panjang serta pelan tindakan yang komprehensif bagi menangani rasuah, ketidakseimbangan ekonomi untuk menjamin masa hadapan yang lebih baik saksama dan makmur.
"Pulih akan menggubal Undang-Undang atau Ordinan berkaitan Dana Politik dan Anti Lompat Parti sebelum PRU15 diadakan bagi memastikan kerajaan yang akan ditubuhkan nanti bebas daripada amalan politik yang tidak sihat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!