CODIQ-MY pantau kesihatan pesakit Covid-19 kuarantin di rumah

Dr Noor Hisham ketika merasmikan NCCR2021 secara maya pada Rabu.
Dr Noor Hisham ketika merasmikan NCCR2021 secara maya pada Rabu.
A
A
A
SHAH ALAM - Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dengan kerjasama rakan penyelidik dari dalam dan luar negara telah membangunkan sebuah penyelesaian perubatan digital bagi memantau kesihatan semasa pesakit Covid-19 yang melakukan kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Penyelesaian Digital Pemantauan Kuarantin Covid-19 di Rumah (CODIQ-MY) yang menggunakan kepintaran buatan (AI) berupaya memberikan maklumat kesihatan terkini pesakit Covid-19 kepada doktor.

“CODIQ-MY menggunakan ‘Internet of Medical Things’ dan AI bagi memberikan maklumat nyata (real time) mengenai status kesihatan pesakit Covid-19 yang kuarantin di rumah kepada doktor.

“Oleh itu, ia akan membolehkan doktor menyediakan rancangan rawatan yang cepat dan bersasar,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Persidangan Kajian Klinikal Kebangsaan 2021 ke-14 (NCCR2021) yang diadakan secara maya pada Rabu.

Turut bersama pada pelancaran tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim; Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Dr Kalaiarasu M Peariasamy dan Ketua Pegawai Eksekutif, Clinical Research Malaysia (CRM), Dr Akhmal Yusof.

Persidangan tahunan NCCR2021 yang berlangsung selama tiga hari bermula Rabu itu mengumpulkan 20 penyelidik terkenal dan 900 delegasi dari dalam dan luar negara bagi membincangkan perkembangan terkini dalam bidang tersebut.

Mengulas mengenai persidangan tersebut, Dr Noor Hisham berkata, antara perkara utama dibincangkan pada NCCR2021 yang bertemakan 'Niche to Norm' itu adalah pembangunan vaksin Covid-19 dan penyakit tanpa rawatan yang lain serta penggunaan kepintaran buatan dalam perubatan.

“Penyelidikan mengenai Covid-19 perlu diteruskan bagi membantu kita untuk lebih memahami penyakit ini dan meningkatkan pengurusan perawatan klinikal dan langkah-langkah kesihatan awam bagi membendung wabak tersebut.

“Penggunaan kesihatan digital terutamanya telah terbukti penting dalam pertarungan kita dengan Covid-19 terutamanya pengesanan kontak rapat dan dan penilaian kesihatan jarak jauh.
Artikel Berkaitan:


“Oleh itu, untuk kembali ke norma kehidupan kita, penyelidikan terus memainkan peranan penting,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan NCCR 2021 kali ini menerima lebih kurang 200 abstrak saintifik yang layak untuk menjadi calon pemenang anugerah berprestij 'Dr Wu Lien-Teh’s Young Investigator Research Awards' yang akan diumumkan pada hari ketiga persidangan iaitu Jumaat.

Sementara itu, Dr Hishamshah berkata, bidang percubaan klinikal di Malaysia menunjukkan perkembangan sejak dua dekad yang lalu dengan secara keseluruhannya sebanyak lebih 1,500 ujian telah dijalankan di dalam negara.

“Kekuatan dan pengalaman kita dalam percubaan klinikal telah membolehkan Malaysia menjadi antara beberapa negara di wilayah pasifik barat yang terpilih untuk ujian vaksin Covid-19,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!