Premis wajib papar maklumat vaksinasi pekerja

Tung Seng menunjukkan poster maklumat vaksinasi yang perlu dipaparkan pada pintu masuk premis di Medan Selera Gurney Paragon, Georgetown pada Khamis.
Tung Seng menunjukkan poster maklumat vaksinasi yang perlu dipaparkan pada pintu masuk premis di Medan Selera Gurney Paragon, Georgetown pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Semua pemilik kedai di bahagian pulau di negeri ini diwajibkan memaparkan maklumat status vaksin pekerja pada pintu masuk premis bermula Khamis.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, pemilik premis yang gagal berbuat demikian akan diarahkan menutup operasi mereka serta-merta.

Beliau berkata, poster mengenai maklumat status vaksin pekerja itu boleh dimuat turun di laman sesawang MBPP.

"Setiap pemilik kedai yang mahu membuka perniagaan mereka perlu memaparkan poster ini. Sekiranya gagal, tindakan tegas akan diambil iaitu diarahkan menutup premis mereka serta-merta.

"Kita bersama polis akan membuat pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan semua pemilik premis mematuhi arahan ini," katanya pada sidang akhbar di Medan Selera Gurney Paragon di sini pada Khamis.

Beliau sebelum itu meninjau premis perniagaan yang mula beroperasi pada Khamis.

Tung Seang berkata, pemilik premis perlu mengemas kini data pada poster tersebut mengikut bilangan pekerja yang menerima vaksin lengkap.

"Poster ini perlu dikemas kini mengikut maklumat terkini. Sekiranya minggu ini hanya dua sahaja pekerja sudah divaksin dan minggu depan bertambah menjadi empat orang (pekerja), pemilik kedai perlu memaparkan poster baharu dengan maklumat terkini.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah tanggungjawab pemilik kedai untuk memaparkan maklumat mengenai vaksin. Selebihnya terpulang kepada pelanggan sama ada mahu terus masuk ke premis tersebut atau sebaliknya," jelas beliau.

Tambah beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar arahan tersebut.

"Kes dilihat semakin meningkat. Oleh itu arahan ini adalah wajib. Tiada kompromi dan semua peniaga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pelanggan juga perlu mematuhi SOP yang mana perlu melengkapkan dua dos vaksin sebelum 'dine-in'.

"'Pemeriksaan mengejut akan terus dijalankan dan sekiranya didapati ada pelanggan yang degil, mereka dan pemilik premis akan dikenakan tindakan tegas," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tung Seang berkata, kira-kira 2,000 penjaja kecil termasuk pekerja mereka akan menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movac) di daerah Timur Laut dan Barat Daya pada 30 Ogos ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!