Anak maut, bapa hilang disambar petir ketika memancing
PAPAR - Seorang lelaki maut manakala bapanya masih hilang selepas disyaki disambar petir ketika keluar memancing di perairan Pulau Dinawan, Kinarut pada petang Rabu.
Mayat mangsa, Abdullah Mohd Nasir berusia 20-an ditemui nelayan tempatan pada jam 4 petang, manakala bapanya, Mohd Nasir Abdul Nasir, 62, masih belum ditemui.
Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mangsa pada jam 8 malam.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan selepas menerima aduan awam pada jam 6.45 petang berhubung kehilangan dua nelayan tempatan ketika memancing di perairan pulau berkenaan.
"Mangsa dilaporkan keluar ke laut bersama anaknya dengan menaiki bot pam berasingan untuk menangkap ikan di pesisir pantai sekitar jam 5.30 pagi dan dilaporkan hilang setelah tidak pulang pada sebelah petang.
"Mangsa dan anaknya disyaki telah disambar petir ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada jam 4 petang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, nelayan tempatan yang berada di sekitar lokasi kemudian menemui mayat anak mangsa sebelum membawanya ke Hospital Papar.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital kira-kira jam 7 malam Rabu.
"Mangsa kedua masih belum ditemui dan usaha mengesan masih diteruskan dengan koordinasi Maritim Malaysia yang melibatkan atur gerak Bot Pengawal 39," katanya.
Mohd Rosli berkata, usaha mengesan mangsa turut dibantu beberapa aset daripada agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa telah masuk hari kedua dengan keluasan pencarian 50 batu nautika persegi dan setakat ini masih belum menemui petanda atau petunjuk positif berkaitan mangsa di lokasi kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!