Yan, Kuala Muda diisytihar Kawasan Bencana Tahap Satu
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap Satu berikutan banjir buruk yang melanda sejak Rabu.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20.
Sehubungan itu, beliau berkata, agensi kerajaan dan badan berkanun yang berkaitan dengan pengurusan operasi bencana sedang mengambil pelbagai langkah perlu untuk menangani bencana tersebut.
Menurutnya, pihak swasta dan badan-badan sukarela yang mahu membantu akan diberikan latihan mencukupi bawah penyelarasan MKN.
"Kerajaan negeri merakamkan rasa dukacita berikutan kejadian banjir kilat dan kepala air di kedua-dua daerah khususnya sekitar kaki Gunung Jerai pada petang Rabu.
"Saya mengucapkan takziah kepada penduduk yang kehilangan orang tersayang dalam bencana itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan berusaha melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk terjejas.
"Meskipun kita sedang bergelut dengan musibah, saya mengingatkan orang ramai terutama mereka yang terlibat, para petugas kerajaan dan sukarelawan yang turun membantu di lapangan agar sentiasa menjaga diri kerana ancaman Covid-19 masih berlegar di persekitaran kita," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!