Firma penyelidikan tingkatkan prospek pendapatan bagi Berjaya Food

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - AmInvestment Bank Research menjangka Berjaya Food Bhd (BFood) akan berkembang apabila ekonomi dibuka semula pada suku keempat 2021.

Oleh itu, firma penyelidikan tersebut meningkatkan unjuran pendapatan BFood untuk tahun kewangan 2022 dan tahun kewangan 2023, masing-masing sebanyak enam peratus dan 16 peratus.

“Segmen Starbucks terutamanya menunjukkan daya tahan dan mengatasi jangkaan walaupun terdapat cawangan yang ditutup pada suku tahun sebelum ini.

“Kami percaya bahawa penambahbaikan yang dibuat pada model perniagaan Starbucks telah menempatkan kumpulan untuk prestasi setiap cawangan lebih kukuh apabila jumlah pengunjung meningkat semula,” katanya dalam nota pada Rabu.

Oleh itu, AmInvestment mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas BFood dengan nilai saksama (FV) lebih tinggi sebanyak RM2.23 sesaham daripada RM2.16 sesaham sebelum ini.

BFood mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM47.4 juta pada tahun kewangan 2021 berakhir 30 Jun 2021, masing-masing naik 105 peratus dan 110 peratus daripada jangkaan AmInvestment dan BFood.

RHB Research meningkatkan pendapatan tahun kewangan 2022 dan tahun kewangan 2023 sebanyak 10 hingga 15 peratus, mengambil kira andaian pertumbuhan jualan yang lebih agresif.

Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas BFood dengan dengan harga sasaran (TP) RM2.40 daripada RM2.33 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

CGS-CIMB menjangka BFood terus mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh pada tahun kewangan 2022 berikutan firma penyelidikan itu percaya jumlah pengunjung ke rangkaian makanan dan minumannya (F&B) akan meningkat semula berikutan sekatan pergerakan yang telah dilonggarkan.

“Selepas membuka jaringan 11 cawangan Starbucks pada tahun kewangan 2021, kami menjangka BFood akan mempercepatkan pembukaan cawangan Starbucks, sejajar dengan sasaran pembukaan cawangan sebelum pandemik Covid-19.

“Kami turut menjangka sumbangan jualan daripada rangkaian Kenny Roger’s Roasters (KRR) akan meningkat semula pada tahun kewangan 2022 berikutan KRR lebih bergantung kepada pelanggan yang makan di restoran,” katanya.

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas BFood dengan TP lebih tinggi sebanyak RM3.25 sejajar dengan 30 peratus diskaun kepada purata harga kepada pendapatan yang mencerminkan risiko berulang terhadap jualan runcit F&B berikutan sekatan pergerakan disebabkan Covid-19. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!