Kes pertama Covid-19 dikesan di Kampung Paralimpik, Jepun

Sukan Paralimpik akan dibuka secara rasmi pada 24 Ogos depan. - Foto AFP
Sukan Paralimpik akan dibuka secara rasmi pada 24 Ogos depan. - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Kes pertama Covid-19 telah dikesan di Kampung Paralimpik beberapa hari sebelum pembukaan Sukan Paralimpik pada 24 Ogos depan, kata pihak penganjur pada Khamis.

Kes itu melibatkan kakitangan sukan tersebut yang tidak menetap di Jepun, tambah pihak penganjur tersebut yang tidak memberikan maklumat lanjut.

Setakat ini, pihak penganjur melaporkan 74 kes melibatkan Paralimpik kebanyakannya dalam kalangan kontraktor dan kakitangan sukan tersebut yang tinggal di Jepun.

Enam lagi kes dilaporkan di kawasan tempatan yang menempatkan pasukan-pasukan yang menjalani latihan.

Sukan Paralimpik itu akan dibuka pada 24 Ogos depan dengan kira-kira 4,400 atlet dari 160 buah negara yang menyertainya.

Ia bermula kira-kira dua minggu selepas Sukan Olimpik berakhir dengan pihak penganjur menyatakan bahawa jangkitan Covid-19 dapat dihalang daripada berlaku ekoran pelaksanaan langkah-langkah ketat antivirus.

Sehingga kini, sebanyak 546 kes positif Covid-19 dikaitkan dengan Sukan Olimpik.

Sejak beberapa hari lalu, Jepun merekodkan lebih 20,000 kes Covid-19 sehari dan kerajaan telah mengisytiharkan darurat di 13 wilayah sehingga 12 September depan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!