Thailand ramal kes Covid-19 reda September
BANGKOK - Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata, penularan Covid-19 di negara ini dijangka menunjukkan 'tanda-tanda reda' dan jumlah kes dijangka mulai menurun pada September.
Berikutan itu, Prayuth menggesa orang ramai supaya terus mematuhi langkah dan sekatan kawalan Covid-19 yang dikuatkuasakan sejak pertengahan Julai lalu, terutama di 28 kawalan yang dikenakan sekatan pergerakan bagi membendung wabak itu.
Akibat penularan varian Delta, sejak beberapa hari lalu kes di negara itu mencatatkan angka lebih 20,000.
Menurut beliau, Pusat Pentadbiran Keadaan Covid-19 (CCSA) sudah memutuskan untuk melanjutkan sekatan termasuk perintah berkurung waktu malam selama tujuh jam sehingga akhir bulan ini.
“Jumlah jangkitan di negara itu mungkin mencapai kemuncak pada bulan ini dan mula menurun pada September.
“Jika pelbagai langkah dan sekatan yang dikenakan sekarang terbukti dapat mengurangkan penularan, pihak berkuasa mungkin melonggarkan sesetengah sekatan bermula bulan depan,” katanya menerusi hantaran terbaharu di akaun Facebooknya pada Rabu.
Beliau berkata, rekod menunjukkan semakin ramai yang sembuh berbanding jangkitan baharu.
Prayuth menyuarakan kebimbangan beliau berhubung jumlah kematian yang dilaporkan di Thailand yang mencatat angka korban tertinggi seramai 312 orang pada Rabu.
Thailand bergelut membendung wabak Covid-19 terburuk sejak April tahun ini. Sehingga kini, ia merekodkan 989,859 kes dengan 8,586 kematian.
Sementara itu, Prayuth menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Australia, Scott Morrison kerana menyumbang AS$2.8 juta (RM11.4 juta) bagi mengukuhkan sektor kesihatan awam negara itu.
Menerusi kenyataan, Jurucakap Rumah Kerajaan, Anucha Burapachaisri, berkata, Prayuth berbincang dengan rakan sejawatnya menerusi telefon semalam.
Anucha berkata, Prayuth turut mencadangkan langkah segera dan yang bersesuaian membabitkan kerjasama vaksin Covid-19 antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Australia bersetuju menyokong kerjasama vaksin dan perkara berkenaan akan dibincangkan, kata Anucha. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!