Hujan ekstrem punca fenomena kepala air di Gunung Jerai
PUTRAJAYA - Kejadian hujan yang ekstrem pada petang Rabu adalah punca fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai sehingga menyebabkan berlakunya banjir lumpur di Kuala Muda dan Yan, Kedah.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata, Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281milimeter (mm) dan 172mm dicatatkan di Stesen Hujan Kampung Singkir Genting dalam kejadian jam 2.30 petang.
Menurut beliau, dalam tempoh satu jam, jumlah kumulatif tertinggi hujan direkodkan adalah 91mm.
"Berdasarkan rekod pada jam 6 petang, hujan melebihi 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI).
"Kemuncaknya ialah pada jam 8 malam iaitu melebihi 70 tahun ARI bagi jumlah hujan 278mm," katanya.
Zaini berkata, kejadian itu telah menyebabkan berlakunya banjir lumpur dengan kedalaman 0.1 hingga 1.5 meter di daerah berkenaan.
"Hujan lebat di hulu iaitu kawasan bukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai serta terdapat halangan sampah sarap, kayu dan pokok yang tersangkut pada lintasan," katanya.
Katanya, kementerian bersama agensi terlibat termasuk kerajaan negeri telah mengambil tindakan termasuk kerja-kerja pembersihan dan mengadakan perbincangan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang perlu dijalankan segera.
Dalam kejadian pada petang Rabu, tiga mangsa ditemukan maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, yang dilanda banjir susulan fenomena kepala air.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat operasi pada 1 pagi Khamis, tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun.
"Ketiga-tiga mangsa yang maut adalah lelaki, dengan satu mangsa ditemukan di tanah runtuh jalan naik ke Gunung Jerai dan dikenal pasti sebagai Shahruzi Mohamad berumur 53 tahun.
"Jenazah sudah diturunkan dan operasi mencari dan menyelamat akan disambung lagi kemudian," katanya menerusi aplikasi Whatsapp awal pagi Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!