Sidang DUN Perak tetap diteruskan

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual pada 25 Ogos depan tetap diteruskan meskipun terdapat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) belum divaksin dan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, persidangan yang akan menggunakan konsep gelembung itu sudah dirancang dan dibuat persiapan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, walaupun terdapat seorang ADUN yang masih belum menerima vaksin, beberapa langkah diambil dengan menyediakan bilik khas untuk membolehkan wakil rakyat tersebut hadir persidangan berkenaan.

"Setakat ini ada seorang dan kita terpaksa ambil langkah-langkah sepatutnya. Sebab apa tak ambil vaksin dia tak bagi jawapan pada saya, dia yang tahu. Selain menggunakan ruang utama Dewan Negeri, beberapa buah bilik juga diwartakan untuk membolehkan ADUN-ADUN berada di dalam bilik tersebut untuk tujuan penjarakan.

"Jadi, ADUN seorang ini kita kena sediakan bilik khas untuk dia. ADUN mana kemudian bagi tahu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan hak milik dan Notis 5A secara maya, di sini, pada Khamis.

Pada 12 Ogos lalu, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid menjelaskan pelaksanaan konsep gelembung itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19 di negeri ini serta khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Konsep gelembung berkenaan merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terlibat dengan persidangan.

Sementara itu mengenai penerimaan vaksin di Perak, Saarani menjelaskan bahawa negeri itu mendapat vaksin mencukupi dan dihantar secara berperingkat seperti dijadualkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau menolak dakwaan bahawa vaksin di Perak tidak mencukupi sebaliknya penghantaran vaksin yang dijadual bakal diterima lebih 1 juta dos pada bulan Ogos itu tidak dihantar sekali gus.

Mengenai pekerja dan pengusaha restoran yang masih belum menerima vaksin, Saarani mencadangkan majikan membeli vaksin berkenaan menerusi Program Vaksin Perak atau Silver Vax terutama pekerja warga asing untuk mendapatkan pelalian tersebut dengan segera.

"Kalau nak memulakan perniagaan dengan cepat dan selamat, boleh berhubung dengan Majuperak menerusi Program Silver Vax. Sudah tentu dia kena bayarlah, tapi saya sebutkan kalau katakan RM380 satu kepala kalau 10 pekerja baru kena bayar RM3,800.

"Itu jauh lebih baik kerana dia boleh memulakan perniagaan dan dengan segera boleh mendapatkan keuntungan berbanding kalau dia tangguh tunggu berbulan-bulan untuk membolehkan pekerja mendapat vaksin dia akan lagi banyak kerugian," katanya.

Menurutnya, mana-mana syarikat yang mahu memulakan perniagaan dengan segera untuk mengambil kesempatan terhadap kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap mereka boleh membeli vaksin menerusi tawaran oleh Majuperak.

Program Silver Vax iaitu program vaksinasi berbayar yang dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri, Majuperak Holdings Berhad (MHB) telah dimulakan pada 2 Ogos lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!