Warga PPR/PA di WP diberi diskaun 50% sewa bulanan rumah
Pemberian diskaun sewa bulanan rumah sebanyak 50 peratus yang telah dilaksanakan menerusi bantuan pakej Insiatif Wilayah Cakna (IWC) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, telah memberi ruang kepada penyewa untuk ‘bernafas’ selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.
Insiatif oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) itu bermula dengan pengecualian bayaran sewa dari April hingga September 2020 sebelum ia dilanjutkan lagi dari Oktober hingga Disember 2020.
Kemudian potongan sewa sebanyak 50 peratus diteruskan lagi pada Januari hingga Mac 2021 yang kemudiannya diumumkan penyambungan inisiatif pada bulan Jun hingga Disember depan.
Pemberian itu sebagai tanda keprihatinan KWP kepada penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PA Perbadanan Labuan (PL) yang terkesan dari segi kewangan.
Inisiatif untuk warga Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan Labuan itu selari dengan pakej rangsangan ekonomi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan) yang diumumkan kerajaan pada 31 Mei lalu.
Walaupun berhadapan dengan kedudukan ekonomi dan kewangan yang begitu mencabar, rakyat terutama kumpulan rentan tetap menjadi keutamaan kerajaan dari sudut kebajikan melalui inisiatif ini.
Majoriti penghuni rumah PPR dan PA terdiri daripada golongan B40 dan miskin bandar yang teruk terkesan dengan situasi pandemik ketika ini apabila ramai mengalami pengurangan gaji, tidak dapat
bekerja, dibuang kerja dan tidak dapat berniaga menyebabkan mereka dihimpit masalah kewangan.
Ekoran itu, rata-rata penyewa rumah PPR dan PA menyifatkan bantuan pengurangan 50 peratus bayaran sewa rumah tersebut banyak meringankan bebanan kewangan mereka dalam menghadapi situasi sukar ketika ini demi kelangsungan hidup.
Nilai wang yang dapat dijimatkan dari potongan sewa itu bukan sahaja boleh digunakan untuk menampung makan dan minum seharian bahkan sedikit sebanyak dapat menampung bayaran bil utiliti.
Lebih 300,000 penduduk di 38,581 unit PPR dan PA di WP Kuala Lumpur dan Labuan telah menerima manfaat inisiatif berkenaan.
REAKSI RAKYAT
“Dalam keadaan PKP yang entah bila akan berakhir ini, semua orang stres termasuk saya sebab saya tak dapat bekerja dan tak ada gaji. Saya pemandu lori kilang perabot, kilang tidak dibenarkan beroperasi. Mujurlah dapat diskaun sewa rumah.” - Penghuni PPR Sri Pantai Kuala Lumpur, T Mahesvaran, 49.
"Sekarang ini bukan semua penghuni ada kerja dan gaji tetap. Ramai antara kami tertekan. Dengan diskaun ini, wang dapat dijimatkan untuk keperluan lain. Saya sendiri dah bersara dan bergantung kepada bantuan Baitulmal dan duit belanja yang anak-anak beri.” - Penghuni merangkap Pengerusi PPR Desa Tun Razak Kuala Lumpur, Anuar Sudin, 56.
"Alhamdulillah, RM62 baki diskaun boleh saya guna untuk tampung belanja dapur. Bila PKP terus disambung belanja makan agak tinggi. Suami saya bekerja sebagai pengawal, pendapatan hanya cukup-cukup untuk kami sekeluarga." - Penghuni PPR Desa Tun Razak Kuala Lumpur, Lili Surani Mamat, 40.
"Syukur sangat dapat diskaun sewa, bolehlah saya guna untuk bayar bil air yang tertunggak lebih RM200. Bila terpaksa berkurung, semua bil utiliti naik berbanding bulan-bulan biasa. Anak saya pula ramai, enam orang. Suami dua minggu tak kerja sejak PKP 3.0 fasa satu dikuatkuasakan." - Penghuni PPR Desa Tun Razak Kuala Lumpur, Arbaayah Awang, 44.
“Pemberian diskaun sewa ini menunjukkan KWP sangat prihatin akan nasib rakyat. Bantuan sebegini di kala pandemik sekarang dapat tolong kami menyimpan lebihan wang tunai untuk makan, minum dan kecemasan.” - Penghuni PPR Sri Pantai Kuala Lumpur, Wong Lai Wan, 39.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!