PDRM sedia bantu KKM isu penjualan ubat Ivermectin
KOTA BHARU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung isu penjualan ubat Ivermectin yang tidak terkawal di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk melakukan siasatan sekiranya menerima laporan mengenai isu berkenaan daripada KKM.
"Isu (penjualan) pil Ivermectin ini adalah urusan di bawah KKM mengikut undang-undang di bawah Akta Racun 1952, jadi ia adalah perkara yang perlu dilihat oleh KKM.
"Namun, kita akan bantu kalau adanya 'report' (laporan) daripada pihak mereka (KKM) tentang adanya (produk) palsu ke sindiket ke, maka kita akan jalankan siasatan," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Sinar Harian pada Julai lalu melaporkan, mana-mana pihak yang mempromosi penjualan ubat Ivermectin sebagai penawar Covid-19 boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Racun 1952.
Perkara tersebut ditegaskan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM), Amrahi Buang yang turut memberitahu, kesalahan itu adalah berdasarkan Akta Racun 1952 mengenai penjualan ubat tersebut.
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba juga memaklumkan sebelum ini, KKM telah memberi kelulusan khas penggunaan ubat berkenaan secara 'off label' untuk kajian klinikal sahaja.
Sementara itu, mengulas mengenai keadaan semasa negara berikutan polemik politik yang melanda ketika ini, Mazlan berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan strategi kawalan melibatkan skop di darat, laut dan udara.
"Keadaan ketenteraman awam dan keselamatan negara aman, tenang dan terkawal. Bagaimanapun, rakyat diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi, hasutan atau menularkan perkara tidak benar kerana ia mampu mengancam keamanan negara.
"PDRM juga sentiasa memantau media sosial untuk mengelakkan berlaku perkara tidak diingini. Tanggungjawab kami bukan sahaja melibatkan Bukit Aman tetapi juga membabitkan setiap kontinjen," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!