Hukuman bapa lakukan serangan seksual terhadap anak kekal
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Khamis mengekalkan hukuman penjara 26 tahun ke atas bekas pemandu lori kerana melakukan serangan seksual terhadap tiga anak perempuannya yang di bawah umur, dua tahun lalu.
Bagaimanapun, panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan rayuan lelaki itu untuk mengurangkan jumlah sebatan daripada 24 kepada 16 sebatan.
Hakim Abdul Karim berkata, mahkamah sebulat suara mendapati kesalahan yang dilakukan oleh lelaki berusia 40 tahun itu adalah serius kerana ia melibatkan anak perempuannya sendiri dan hukuman penjara 26 tahun yang dijatuhkan ke atas lelaki itu oleh Mahkamah Sesyen Klang adalah munasabah dan wajar.
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk P. Ravinthran, menolak rayuan lelaki itu berhubung hukuman penjara.
Mengenai hukuman sebatan, Hakim Abdul Karim berkata, sebatan sebanyak 24 kali yang dikenakan ke atas lelaki itu adalah keterlaluan, justeru dikurangkan kepada 16 sebatan.
Lelaki itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada 12 Disember 2019, atas empat pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 10, sembilan dan lapan tahun, antara jam 8 pagi dan 12 tengah hari pada 28 Oktober 2019 di kediaman mereka di Klang, Selangor.
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 26 tahun dan 24 sebatan terhadap lelaki itu.
Pada 16 Oktober 2020, Mahkamah Tinggi menolak rayuan lelaki itu untuk mengurangkan hukuman penjara dan sebatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!