Kes basikal lajak: 14 keluarga terima cek pampasan
JOHOR BAHRU – UMNO negeri menyampaikan cek pampasan kepada 14 keluarga mangsa kemalangan basikal lajak yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 18 Februari 2018 dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Badan Perhubungan Umno Johor, di sini, hari ini.
Cek pampasan berkenaan adalah bayaran pampasan daripada syarikat insurans pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu kepada ahli keluarga mangsa.
Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pampasan berkenaan adalah hasil persetujuan bersama kedua-dua pihak selepas melalui proses mahkamah selama hampir setahun.
“Bantuan ini dihulurkan kerana kami merasakan perlu ada pembelaan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden ini.
“Diharap kejadian ini dapat menjadi peringatan kepada semua pihak dan lebih berhati-hati menggunakan jalan raya.
“UMNO Johor juga berterima kasih kepada pihak peguam yang sudi memberikan yuran guaman pada harga berpatutan untuk kes ini dan diharap lebih banyak golongan profesional tampil memberi bantuan seumpama ini,” katanya pada majlis berkenaan.
Hasni berkata, bantuan yang dihulurkan UMNO ini juga sebagai salah satu tanggungjawab korporat sosial (CSR) pihaknya untuk membantu masyarakat.
“Bagaimanapun, jumlah pampasan yang diterima oleh ahli keluarga dan mangsa-mangsa kemalangan adalah berbeza mengikut kondisi dan kecederaan masing-masing,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu pada 18 Februari 2017, kemalangan berkenaan melibatkan 16 remaja berusia 13 hingga 19 tahun dirempuh sebuah kereta jenis Nissan dipandu seorang wanita awal 20-an.
Kemalangan itu menyebabkan lapan maut dan lapan lagi cedera, bagaimanapun UMNO Johor membantu lapan mangsa yang maut dan enam cedera sementara selebihnya memilih menguruskan sendiri.
UMNO Johor pada ketika itu di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju membantu syarikat guaman untuk membuat tuntutan sivil di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan menanggung kos guaman, mahkamah dan segala bentuk pampasan yang diberikan mahkamah dan syarikat insurans.
Difahamkan tuntutan sivil yang dilakukan ini berbeza dengan kes di Mahkamah Jenayah Trafik yang mana pemandu didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sehingga kini kes tersebut masih berjalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!