'Hasrat suami duduki, hias rumah sendiri tak kesampaian'
YAN - Mangsa yang terkorban dalam kejadian fenomena kepala air di Gunung Jerai pada Rabu tidak sempat memenuhi hasratnya menetap dan menghias rumah sendiri di Kampung Simpang Empat, Sedaka di sini.
Isteri mangsa, Ranida Ahmad, 48, berkata, suaminya, Sharuzi Mohammad, 54, sebelum ini berhajat untuk menghias rumah mereka yang sedang dalam pembinaan menerusi bantuan Jabatan Zakat Negeri Kedah.
Menurutnya, arwah memaklumkan bahawa dia sangat teruja serta tidak sabar-sabar untuk menghias rumah yang bakal diduduki apabila siap pada Oktober depan.
"Banyak sangat impian dia. Nak duduk rumah sendiri dan hias rumah sendiri. Dia minat kerja-kerja menghias landskap tanam pokok dan bercadang untuk mencantikkan rumah baharu apabila siap kelak," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.
Ranida yang berniaga nasi lemak di kampung itu berkata, seluruh keluarga terasa kehilangan memandangkan arwah cukup rapat dengan anak-anak selain sukar marah.
"Saya mula rasa tak sedap hati kerana panggilan telefon tidak dijawab kira-kira jam 3 petang semalam (Rabu).
"Selalunya suami akan telefon dulu sebelum balik kerja untuk mengetahui sama ada cuaca elok atau tidak bagi meneruskan perjalanan turun dari puncak gunung menggunakan motosikal setiap hari.
"Saya nak beritahu dia supaya tangguhkan perjalanan balik buat sementara waktu kerana hujan lebat, sebab risaukan jalan licin, tetapi dia tak angkat telefon," katanya.
Ranida berkata, selepas Maghrib, dia didatangi kawan suaminya meminta agar banyak-banyak berdoa selepas kejadian kepala air tular di media sosial.
Bagaimanapun, katanya, berita kematian suami yang disampaikan selepas itu diterima dengan reda dan berharap agar urusan pengebumian berjalan lancar.
Menceritakan perwatakan bapa kepada lima anak berusia antara 13 hingga 22 tahun itu, Ranida berkata, Sharuzi dilihat agak pendiam sejak kebelakangan ini selain mudah letih dan banyak berehat.
"Dia seorang yang ringan tulang. Saya pernah berpesan agar dia mencari kerja lain tetapi katanya minat selain sukar nak dapat kerja lain dalam usia sebegini," katanya.
Sharuzi terkorban dipercayai ketika perjalanan turun dari tempat kerja di Regency Jerai Hill Resort, Gunung Jerai pada petang Rabu.
Setakat jam 5 petang Khamis, empat mangsa meninggal dunia, sementara dua masih hilang dan seorang lagi dilaporkan cedera dalam kejadian fenomena kepala air di Gunung Jerai sehingga menyebabkan penduduk di daerah Kuala Muda dan Yan terjejas.
Kejadian turut menyebabkan ratusan buah rumah di kedua-dua daerah tersebut dilanda banjir lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!