Sekolah memandu di Sarawak dibuka semula dengan SOP ketat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) meluluskan cadangan untuk membenarkan sekolah memandu beroperasi dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri tersebut.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, pembukaan sekolah memandu bagaimanapun hanya untuk zon utara dan tengah manakala zon selatan merangkumi Bahagian Kuching, Serian dan Samarahan telah ditangguhkan kerana peningkatan kes jangkitan Covid-19 di zon tersebut.

“Pembukaan sekolah memandu akan membantu mengurangkan impak ekonomi pandemik Covid-19 terhadap kehidupan pihak berkepentingan yang terlibat dan pihak yang berhubung kait dengannya,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau kata, JPBNS memberi kelulusan itu kelmarin susulan cadangan dikemukakan oleh kementeriannya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan syarat pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak pengurusan dan pengendali sekolah memandu, kakitangan, tenaga pengajar dan pelajar.

Antara syarat termasuk kesemua 34 sekolah memandu di negeri ini mengemukakan maklumat pematuhan SOP kepada pejabat JPJ berhampiran untuk pengesahan sebelum dibenarkan beroperasi.

Kim Shin berkata, semua operator sekolah memandu dan pekerja perlu melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19 manakala semua pelajar perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin sebelum diterima oleh sekolah memandu.

Bagaimanapun, katanya, selepas 31 Ogos, adalah wajib untuk semua pelajar lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan sijil digital vaksinasi atau kad vaksinasi akan dijadikan bukti.

Katanya, anggota JPJ akan melakukan lawatan pemeriksaan untuk memastikan semua sekolah memandu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

“Kita percaya SOP baharu yang khusus ini akan membantu memastikan semua sekolah memandu dapat beroperasi dalam persekitaran bawah Fasa Tiga PPN demi menjaga keselamatan semua pihak berkepentingan daripada penyebaran Covid-19,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!