Pulau Pinang siap siaga hadapi musim tengkujuh

Azrul (kiri) mengiringi Ahmad Zakiyuddin (tengah) melawat mangsa banjir di Teluk Kumbar pada Khamis.
Azrul (kiri) mengiringi Ahmad Zakiyuddin (tengah) melawat mangsa banjir di Teluk Kumbar pada Khamis.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Kerajaan Pulau Pinang menggerakkan semua agensi dan jabatan untuk bersiap siaga menghadapi perubahan cuaca di negeri berkenaan.

Timbalan ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Pulau Pinang berkemungkinan dilanda banjir susulan ramalan cuaca hujan melanda pada Khamis dan Jumaat.

"Saya turut meminta semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan terlibat mengumpul maklumat termasuk jumlah mangsa terlibat.

"Ia bagi memudahkan kerajaan negeri menyemak untuk menyalurkan bantuan kepada mereka," katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan banjir di Teluk Kumbar, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, lebih 500 buah rumah yang dihuni 2,000 penduduk di Parlimen Balik Pulau, di sini dilanda banjir selepas hujan lebat lebih lima jam pada Rabu.

Kejadian itu diburukkan lagi apabila berlaku air laut pasang di kawasan berkenaan.

Antara lokasi terjejas teruk adalah Kampung Masjid dan Kampung Sulup di Teluk Kumbar yang membabitkan kira-kira 300 buah rumah dengan 1,500 penduduk terjejas.

ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, purata hujan dengan 78 milimeter selain paras air sungai 3.5 meter di Teluk Kumbar merupakan punca utama kejadian banjir kilat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penduduk mendakwa air naik terlalu cepat sehingga tidak sempat untuk menyelamatkan harta benda mereka.

"Ada kawasan ditenggelami air sehingga setengah meter. Penduduk mendakwa air naik terlalu cepat.

"Selain hujan lebat, punca kejadian banjir adalah sampah dan batang pokok yang menyebabkan saliran air dan sungai tersumbat," katanya.

Katanya, sebuah rumah pam di kawasan Teluk Kumbar sedang dalam pembinaan dan masih belum beroperasi.

"Ia dijangka beroperasi pada Oktober nanti.

"Bagaimanapun, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang telah meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) memasang bekalan elektrik supaya rumah pam itu boleh beroperasi segera hari ini dalam usaha mengatasi masalah banjir," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Al Barakah, Masjid Maqbul, Teluk Kumbar dibuka pada 11 malam Rabu.

Katanya, ia bagi menempatkan tiga buah keluarga membabitkan 12 orang.

Jelasnya, bagaimanapun PPS itu ditutup tengah hari Khamis selepas air di rumah mangsa kembali surut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!