#KAMIMALAYSIA desak ahli politik lakukan moratorium politik

A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan #KAMIMALAYSIA yang baharu dilancarkan pada Khamis mendesak ahli politik melakukan moratorium politik secara total bagi menghentikan kemelut politik di kala pandemik Covid-19 sekarang.

Jurucakap #KAMIMALAYSIA, Datuk Mohd Nizam Mahshar berkata, moratorium politik yang berkesan tidak akan dapat dilaksanakan selagi Malaysia tidak keluar dari kerangka politik yang berkisar kepada kepartian.

Justeru, katanya, proses pelantikan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri baharu seperti yang lazim diamalkan sebelum ini berdasarkan kepada perbincangan dalam kalangan parti-parti komponen dalam kerajaan, berkemungkinan bukanlah jalan keluar terbaik di saat pandemik memandangkan proses perebutan kuasa akan terus berlaku.

"Dengan itu, #KAMIMALAYSIA telah memulakan suatu pergerakan yang terdiri daripada rakyat Malaysia berbilang kaum, berbilang agama, merentas fahaman politik serta pegangan ideologi bagi menuntut dan menawarkan penyelesaian kepada permasalahan pada hari ini, demi kebaikan bersama.

"Tuntutan dan tawaran penyelesaian yang bersifat 'overhaul' politik ini datangnya daripada gabungan aktivis, akademia, rakyat akar-umbi, pimpinan perniagaan dan korporat, masyarakat sivil, pemimpin masyarakat dan belia serta ulama dan kepimpinan agama," katanya menerusi sidang akhbar mengenai inisiatif #KAMIMALAYSIA pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Nizam yang juga Pengerusi Persatuan Kajian Pembangunan dan Kemampanan Antarabangsa (Idris) berkata, dalam konteks isu semasa hari ini, #KAMIMALAYSIA menyembah takzim agar Yang di-Pertuan Agong melantik seorang Perdana Menteri yang pada hemat Seri Paduka Baginda mungkin memiliki sokongan majoriti daripada kalangan mana-mana 220 Ahli Dewan Rakyat sedia ada seperti kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, selain itu, Perdana Menteri Interim juga boleh dilantik, namun semuanya bergantung kepada kebijaksanaan dan kearifan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

"Memandangkan Perlembagaan mengkehendaki Perdana Menteri untuk melantik Jemaah Menteri dalam kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara, maka kami menuntut agar Jemaah Menteri yang dilantik itu mestilah suatu Jemaah yang kecil dengan portfolio yang perlu sahaja dan dilantik bukan atas dasar keahlian dalam parti, sebaliknya kebolehan dan merit, selain mempunyai rekod yang bersih.

Artikel Berkaitan:

"Jemaah Menteri hendaklah mempunyai keberanian dan keikhlasan dan dengan segera menubuhkan sebuah Majlis Khas Kecemasan Pemulihan Negara untuk menangani isu Pandemik hari ini dan kesan-kesan lain kepada negara.

"#KAMIMALAYSIA mencadangkan ahli-ahli majlis tersebut mestilah terdiri sepenuhnya daripada bukan kepimpinan mana-mana parti politik serta bukan Ahli Dewan Rakyat, sebaliknya seratus peratus dari kalangan figura berwibawa, teknokrat, profesional, akademia dan pakar bidang, pemimpin gerakan sivil termasuk wakil-wakil pegawai kerajaan kanan dari sektor-sektor yang berkaitan iaitu terutamanya Kementerian Kesihatan," katanya.

Mohd Nizam menegaskan, #KAMIMALAYSIA yakin dengan adanya majlis yang tidak melibatkan ahli politik, mereka akan lebih terfokus, profesional dan dapat menumpukan penyelesaian kemelut negara dari disibukkan berebut kuasa politik sepertimana yang berlaku hari ini.

Katanya, dasar dan polisi negara boleh ditentukan sepenuhnya secara profesional oleh pakar-pakar yang dilantik dalam majlis tersebut.

"Bagi tujuan semak dan imbang, Jemaah Menteri mestilah meletakkan kepercayaan penuh kepada pakar-pakar tersebut dengan membentangkan cadangan-cadangan dari majlis tersebut untuk dibahaskan di Parlimen.

"Cabang kehakiman mesti terus dibiarkan bebas dari mana-mana gangguan, sebagai satu lagi semak dan imbang terhadap kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan," katanya.

Mohd Nizam menambah, cadangan itu dibuat kerana mereka telah muak dan mual dengan permainan politik oleh kesemua parti sedia ada, sedangkan negara sangat memerlukan kestabilan untuk keluar dari krisis berangkai kesihatan-ekonomi-sosial-kepimpinan-mental-pendidikan.

"Justeru itu, jalan penyelesaiannya pada hemat kami adalah ahli-ahli politik perlu mengambil tempat duduk di belakang untuk seketika waktu (take a back seat), bagi membenarkan pihak-pihak yang sebenarnya ahli dan berkemampuan dalam bidang dan skopnya masing-masing untuk menjalankan amanah memulihkan negara.

"#KAMIMALAYSIA memohon rakyat Malaysia mengangkat cadangan-cadangan ini secara bersama oleh semua rakyat secara tegas dan terang (mengikat lunas perundangan, kesopanan dan kesusilaan), bagi memberi isyarat yang jelas bahawa kepentingan, kebajikan dan kesihatan rakyat dan pemulihan ekonomi dan kelangsungan hidup adalah lebih penting dari perebutan kuasa politik," katanya lagi.

Berikutan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil pelajaran dari episod kekalutan politik tersebut dan menggerakkan secara bersama satu gerakan warga Malaysia untuk merubah budaya politik dan sistem kepartian yang ada pada hari ini, ke arah mencari wakil-wakil rakyat yang benar-benar ingin memberi khidmat kepada rakyat dan negara serta bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata pada pilihan raya akan datang.

Ujarnya, #KAMIMALAYSIA mengharapkan gelombang kesedaran rakyat dapat dibina untuk mewujudkan muka-muka baharu dalam kepimpinan negara masa hadapan dengan meletakkan syarat ketat bahawa mereka adalah di kalangan mereka yang mempunyai nilai, keilmuan, integriti, moral dan kredibiliti dan tidak terpalit dengan kes-kes mahkamah, aktiviti rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai skandal.

"Kita memerlukan pemimpin negara yang baharu yang kredibel dan berintegriti untuk memulihkan negara dan membawa negara ke potensinya yang sebenar.

"#KAMIMALAYSIA menyeru agar kesemua rakyat Malaysia dapat sama-sama menyokong naratif baharu politik dan kepimpinan agar dapat dibebaskan dari belenggu sistem kepartian sempit dan membawa budaya politik baharu berteraskan nilai dan integriti untuk kebaikan rakyat dan negara," kata beliau.

Katanya lagi, #KAMIMALAYSIA diharapkan dapat menjadi suatu inisiatif berterusan yang berteraskan mobilisasi warga ke arah pembaharuan politik yang menyeluruh bagi memastikan kepimpinan negara masa depan adalah mereka yang kredibel, mempunyai kemahiran dan ilmu yang terakui, berpengalaman dalam pembangunan dan pembuatan polisi dan bebas dari isu-isu jenayah, rasuah dan skandal.

Gerakan #KAMIMALAYSIA setakat ini terdiri daripada 42 pendokong termasuk Mohd Nizam; Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Turut mendokong, Pengarah Eksekutif Third World Network (TWN), Chee Yoke Ling; Ketua Pegawai Eksekutif Dialektika TV, Sayed Munawar Sayed Mustar dan Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!