Kutipan cukai 2019 disasar RM150 bilion

No Image Caption
A
A
A

CYBERJAYA - Kerajaan menyasarkan kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus meningkat kepada RM150 bilion bagi tahun ini berbanding RM147 bilion yang disasarkan sebelum ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sasaran yang lebih tinggi itu dibuat susulan keyakinan kerajaan perkembangan ekonomi negara yang semakin berkembang.

Jelas beliau, kementerian Kewangan menjangkakan perkembangan ekonomi negara kadar 4.9 peratus pada tahun ini.

"Apabila ekonomi meningkat, sudah tentunya kutipan cukai juga bertambah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Hasil ke-23 di Menara LHDN, di sini, hari ini.

Menurut beliau, LHDN pada tahun sebelum ini mampu memungut cukai langsung lebih RM137 bilion iaitu peningkatan RM13.723 bilion lebih tinggi berbanding tahun 2017 atau 11.13 peratus lebih tinggi berbanding 2018.

"Pencapaian kutipan ini mencerminkan ekonomi negara terus berada di landasan kukuh, seiring dengan pengenalan tadbir urus Kerajaan Persekutuan yang memperkasakan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT)," katanya.

Sementara itu Guan Eng memaklumkan, negara kini berada dalam fasa pemulihan dengan pelaksanaan Pelan Konsolidasi Fiskal Tiga Tahun, yang membenarkan fiskal defisit naik kepada 3.7 peratus daripada KDNK berbanding sasaran awal sebanyak 2.8 peratus.

" Selepas penstrukturan dan penyusunan semula pelbagai perkara, kerajaan meletakkan harapan agar defisit fiskal tahun 2019 dapat dikurangkan kepada 3.4 peratus, manakala pada 2020 kepada 3.0 peratus dan diturunkan lagi pada 2021 kepada 2.8 peratus atau lebih rendah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, Guan Eng berkata, sehingga penghujung Januari 2019 sejumlah RM1.64 bilion pembayaran balik cukai pendapatan telah dibuat oleh LHDN.

Ianya merangkumi 18,215 kes bayaran kepada syarikat, 14,082 bukan syarikat dan 162 duti setem.

Sementara itu, Guan Eng memaklumkan, sejumlah RM1.64 bilion baki pembayaran balik cukai pendapatan telah dilaksanakan kerajaan kepada pembayar cukai bermula Januari lalu, yang membabitkan 32,000 kes.

Beliau berkata pembayaran itu selaras janji kerajaan untuk menyelesaikan bayaran balik cukai tersebut, dan beliau mahu proses tersebut dilakukan segera oleh LHDN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!