Tipu tawaran kerja: Reman dua lagi suspek dilanjutkan
KUCHING - Tempoh reman dua lagi suspek kes penipuan tawaran pekerjaan sehingga mengakibatkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja baru-baru ini, dilanjutkan tiga hari lagi sehingga 4 Mac.
Permohonan lanjutan reman ke atas suspek lelaki dan wanita tempatan masing-masing berumur 35 tahun itu dibuat Majistret Mohd Shukri Mokhtar di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Kedua-dua suspek tersebut ditahan di dua rumah berasingan di Traffic Garden dan Taman Chung Hua di sini pada Ahad lepas.
Sementara itu, tempoh reman seorang suspek tangkapan pertama penipuan pekerjaan berkenaan turut dilanjutkan tiga hari lagi, sehingga 3 Mac di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Permohonan perintah tahanan reman dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada Ahad lepas, untuk melanjutkan siasatan terhadap lelaki tempatan berusia 35 tahun itu yang ditahan di rumahnya pada 23 Februari.
Sehingga kini, 23 orang iaitu 18 lelaki dan lima wanita telah tampil membuat laporan polis berhubung kes ini.
Kesemua 47 rakyat Malaysia, termasuk 40 dari Sarawak, yang dibebaskan dari penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja itu, tiba di tanah air dari Kemboja pada 17 Februari lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!