Kaji cadangan had masa pusat hiburan
Ahmad Faizal (hadapan, tengah) pada majlis berkenaan.
A
A
A
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pelaksanaannya juga perlu mendapat nasihat daripada pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Saya berpandangan kita perlu kaji perkara ini kerana ia bukan berkenaan dengan masa tetapi dengan apa yang dilakukan oleh mereka yang pergi ke pusat-pusat hiburan ini.
"Kalau sekadar ia hiburan yang boleh dikawal dan tidak menganggu ketenteraman awam, rasanya ia tidak ada masalah dan mungkin boleh kita kaji perkara ini," katanya pada sidang media, malam tadi.
Ahmad Faizal berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang akan mempertimbangkan cadangan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), untuk memendekkan waktu operasi semua pusat hiburan di ibu negara kepada jam 1 pagi mulai Januari tahun depan.
Sementara itu Ahmad Faizal berkata, setakat keadaan di sekitar negeri khususnya di bandaraya Ipoh masih terkawal.
Katanya, biarpun warga bandaraya masih keluar berhibur sehingga ke awal pagi, namun ia tidaklah sehingga menganggu ketenteraman awam.
"Namun yang merbahaya mereka terlalu banyak minum minuman keras ini.
"Kalau tutup jam 8 malam pun tapi dia minum dari jam 2 petang dengan banyak dan tidak bertanggungjawab, ia tetap boleh menganggu ketenteraman awam.
"Di Perak setakat ini kita perlu dapatkan nasihat pihak berkuasa, PBT dan sebagainya sebelum buat perkara yang sama di Perak ini," katanya.
Terdahulu Ahmad Faizal menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan kali ke 6 (HSDR 6 ) dan Malam Nusantara sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) 2018 di Pusat Konvensyen Amanjaya Hotel Casuarina, Meru, malam tadi.
Ahmad Faizal turut berkesempatan untuk mendeklamasikan sajak bertajuk 'Kita Kembalikan Keindahan,' pada majlis berkenaan.
Hadir sama, pengarah Pulara 2018 Mohd Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Pak Malim dan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!