Peminat roti puri gembira boleh makan di kedai

Zulkifli menunjukkan sijil e-vaksin di MySejahtera
Zulkifli menunjukkan sijil e-vaksin di MySejahtera
A
A
A

SEREMBAN - Peminat roti puri yang sebelum ini hanya dibeli secara bungkus, kini menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan makan di restoran bagi negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Menurut salah seorang pengunjung yang ditemui, Zulkifli Othman, 49, makanan pertama yang dicari adalah roti puri bersama kari kambing.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 lalu, dia tidak dapat menikmati menu kegemarannya 'panas-panas'.

"Selalu kita beli bungkus, bawa balik rumah makanan dah sejuk, memang tak sama rasa makan di kedai dengan rumah. Hari ini dapat makan roti puri dengan kari kambing, panas-panas.

"Oleh sebab itu, hari ini sarapan saya ajak isteri makan di luar, hampir tiga bulan kita tidak dapat duduk ngeteh kat mamak macam hari ini," katanya ketika ditemui di Restoran Maulana Food Court, Seremban pada Jumaat.

Zulkifli menikmati sarapan di kedai kegemarannya apabila kebenaran makan di restoran dibenarkan bermula pada Jumaat.
Zulkifli menikmati sarapan di kedai kegemarannya apabila kebenaran makan di restoran dibenarkan bermula pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia sudah lengkap menerima vaksin sejak 27 Julai lalu, dan gembira dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan kepada mereka yang sudah divaksin.

Dalam pada itu, Pengurus Restoran, Bava Buhaardeen, 50, berkata, pihaknya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk melihat sijil e-vaksin di MySejahtera bagi memastikan hanya pelanggan yang telah lengkap vaksin sahaja dibenarkan masuk.

Katanya, selain memastikan SOP dipatuhi, pihaknya juga akan sentiasa melakukan sanitasi dalam kedai sebelum memulakan operasi dan segera membersihkan meja sebaik pelanggan keluar.

"Kita lega apabila kerajaan beri kelonggaran seperti ini, sejak PKP 3.0 lalu, kami terpaksa menanggung kerugian hampir 50 peratus, pelanggan yang datang bungkus tidak ramai, gaji pekerja dan sewa kedai perlu bayar," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya akan terus menjalankan penguatkuasaan di daerah ini meskipun beberapa aktiviti telah dibenarkan kepada individu yang lengkap divaksin di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

'Walaupun kelonggaran diberikan kepada mereka namun langkah berjaga-jaga perlu diambil. Penguatkuasaan akan tetap dijalankan dan bagi sesiapa yang melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dikenakan tindakan kompaun," katanya.

Semua pihak katanya, perlu bekerjasama dalam menghadapi wabak Covid-19 dan tetap mematuhi SOP ditetapkan terutama memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!