Penjenayah bermotosikal: Empat suspek sudah diberkas

Noor Azam
Noor Azam
A
A
A

SHAH ALAM - Dua lagi suspek berjaya diberkas polis, kelmarin, bagi membantu siasatan berhubung kes penjenayah bermotosikal yang melakukan samun di beberapa lokasi sekitar negeri.

Tangkapan ini menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah seramai empat orang berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

Tanpa mendedahkan lebih terperinci berhubung tangkapan terbaru itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, tangkapan dua suspek ini dilakukan hasil siasatan terhadap tangkapan sebelum ini.

"Polis percaya suspek ini terlibat dalam kes samun bermotosikal sebelum ini.

"Sasatan lanjut masih dijalankan sama ada kumpulan suspek ini terlibat dalam kegiatan samun di luar Selangor," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Jelas Noor Azam, polis kini sedang memburu saki baki suspek dan percaya kes itu akan berjaya diselesaikan dalam masa yang terdekat.

21 Februari lalu, tiga kes samun dan cubaan samun dilaporkan berlaku membabitkan antara enam hingga lapan lelaki menaiki motosikal yang bersenjatakan parang dengan mencari sasaran yang berada di perkarangan rumah di kawasan sunyi.

Kes pertama dilapor berlaku kira-kira jam 2.15 petang di mana seorang lelaki yang sedang meletakkan kereta di luar rumahnya di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, Klang, didatangi enam lelaki menaiki motosikal yang mengacukan parang sebelum melarikan wang tunai RM5,000, buku cek RM4,300, barang kemas RM2,000 dan telefon bimbit.

Artikel Berkaitan:

Tidak lama selepas itu, seorang wanita disamun ketika berada di hadapan rumahnya di Lorong Lengkongan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang oleh lapan lelaki bersenjatakan parang yang menaiki empat motosikal jenis Yamaha 125Z.

Kemudian, kira-kira jam 4.05 petang, seorang lelaki yang mahu keluar dari rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara pula cuba disamun tujuh lelaki menaiki empat motosikal yang sebelum itu berlegar-legar di sekitar kawasan kediamannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!