Kajian secara menyeluruh perlu dibuat di Gunung Jerai
SHAH ALAM – Institut Geologi Malaysia (IGM) menyarankan satu kajian bencana geologi secara menyeluruh, bebas dan dianggotai pelbagai bidang kepakaran diterajui oleh ahli geologi dapat dilakukan terhadap Gunung Jerai dan kawasan sekitarnya.
Presiden IGM, Abd Rasid Jaapar berkata, pihaknya berpendapat kajian potensi bahaya, kerapuhan dan risiko bencana berkaitan geologi perlu dilaksanakan terhadap semua kawasan produk pelancongan semula jadi termasuk geopark dan geotapak di seluruh negara.
“Kajian juga disyorkan bersifat 'transdisciplinary' dalam memahami kesan perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana geologi di masa hadapan.
“Kajian sebegini masih belum lagi dilakukan secara terperinci dan memerlukan komitmen pelbagai pihak,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Pada petang Rabu, berlaku kejadian kepala air di Geopark Kebangsaan Gunung Jerai yang memberikan impak terhadap kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Keras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.
Dilaporkan, hujan yang ekstrem dikatakan antara punca pencetus kejadian itu.
Mengulas lanjut, Abd Rasid berkata, sekiranya kejadian aliran serpihan itu berlaku semasa kehadiran pengunjung atau pelancong yang ramai, ia akan lebih memburukkan keadaan.
“Ancaman risiko bencana geologi ini harus dipertingkatkan tahap kesedarannya dan difahami sebaiknya oleh masyarakat, malah ketika ancaman bencana berganda,” katanya.
Menurutnya, peristiwa bencana geologi dan berkaitan geologi sepatutnya boleh dielakkan atau dikurangkan risikonya.
“Kajian terperinci dan pelan tindakan dibangunkan dengan mengarusperdanakan konsep pengurangan risiko bencana selari dengan amalan baik antarabangsa yang digariskan dalam 'Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030' oleh 'United Nations Office for Disaster Risk Reduction' (UNDRR),” jelasnya.
Abd Rasid menambah, pihaknya difahamkan satu pasukan penyiasat akan dihantar oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ke tempat kajian untuk memantau dan membuat kajian awal.
“Sementara laporan kajian dikeluarkan oleh pasukan penyiasat tersebut, IGM menyeru ahli-ahli geologi supaya tidak terlalu ghairah mengeluarkan pandangan berbentuk spekulatif dan provokasi tanpa berdasarkan data, bukti-bukti sains dan fakta yang lengkap terutamanya data cerapan lapangan,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya komited dalam menyokong usaha kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan ke arah pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan yang lebih holistik dalam menilai risiko bencana geologi berasaskan sains, memahami tahap keterancaman setempat dan mencari solusi yang bersifat jangka masa panjang berasaskan maklumat geologi yang lengkap, tepat dan komprehensif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!