Daftar sebelum 'walk-in' elak kesesakan di PPV

Zaini Hussin
Zaini Hussin
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menasihatkan orang ramai untuk membuat pendaftaran awal sebelum mengambil vaksin secara ‘walk-in’ bagi mengelak daripada berlaku sebarang kesulitan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pendaftaran tersebut boleh dibuat melalui kod QR yang disediakan atau panggilan telefon.

Menurutnya, langkah tersebut juga untuk memastikan keadaan semasa di PPV tidak sesak dan dapat mengelak daripada berlakunya sebarang jangkitan yang tidak diingini.

“Kepada ibu mengandung, ibu yang menyusu ataupun yang berusia 40 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik namun masih belum mendapat suntikan vaksin, hubungi kami segera supaya kami dapat membantu apa yang boleh,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, talian yang disediakan adalah untuk membantu memudahkan pendaftaran dilakukan kerana pihak JKNK maklum mengenai pelbagai kekangan yang dihadapi masyarakat untuk mendaftar dan keluar mengambil vaksin masing-masing.

Beliau berkata, sejak ia dilaksanakan, pihaknya mendapat maklum balas yang sangat positif dan berharap dengan adanya pendaftaran untuk ‘walk-in’ itu, Kelantan dapat mencapai imuniti kelompok mengikut perancangan.

“Talian kami dibuka dari Ahad hingga Khamis bermula jam 8.30 pagi sehingga 3 petang. Kami akan maklumkan maklumat asas pendaftaran bagi memudahkan masyarakat untuk hadir pada tarikh dan masa yang ditetapkan.

“Ambil langkah segera untuk daftar dan vaksin diri anda, tindakan kita hari ini adalah untuk masa depan bersama. Apa yang penting, walaupun sudah di vaksin, penjagaan prosedur operasi standard (SOP) juga tetap perlu dijaga setiap masa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Talian hotline pendaftaran ‘walk-in’ vaksinasi ialah 09-7743099 dan 09-7742099.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!