Permohonan lesen kenderaan komersil dalam talian dilaksana tahun ini
JELEBU - Kerajaan dijangka dapat melaksanakan sistem permohonan lesen kenderaan komersil dalam talian pada tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata usaha ke arah itu sedang dijalankan termasuk mencari vendor untuk membangunkan sistem tersebut.
“Memang ada keperluan yang mendesak untuk urusan-urusan permohonan lesen dan permohonan yang berkaitan bagi kenderaan komersil dibuat secara dalam talian, bahkan ia sudah agak kritikal sehingga timbul isu pelanggan yang emosi ketika berurusan di kaunter,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Perkhidmatan Bas Percuma Bagi Pelajar di Sekolah Terpilih Daerah Jelebu dan Jempol di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sebuah klip video yang tular memaparkan seorang pelanggan memarahi pegawai kaunter pejabat wilayah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Kelana Jaya baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas isu kekurangan tenaga kerja APAD, Loke berkata pihaknya menunggu sedang kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengisi kekosongan jawatan yang ada.
Seramai 37 calon telah dipilih namun belum dapat kelulusan JPA, katanya, menambah keperluan tenaga kerja APAD Kelana Jaya paling kritikal memandangkan ia menjadi tumpuan warga Lembah Klang.
“Kita juga mohon maaf atas kesulitan yang timbul namun dalam masa sama kita cuba cari insiatif lain untuk bantu ringankan beban kerja,” kata Loke yang turut menasihati orang ramai yang tidak berpuas hati semasa berurusan di kaunter pejabat kerajaan agar tidak bertindak keterlaluan terhadap penjawat awam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!