Gula 96kg dirampas KPDNHEP
![Penguat kuasa KPDNHEP memeriksa but kereta dan menemui sebanyak 96 kilogram gula dalam satu serbuan di Kota Kinabalu.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/08/20/1174315.jpeg)
TUARAN - Tindakan seorang lelaki menjual gula pada harga mencecah sehingga RM5 tanpa lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membawa padah apabila ditahan di Kota Kinabalu pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, lelaki berusia 25 tahun ditahan bersama 96 kilogram (kg) gula yang disimpan di but sebuah kenderaan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat KPDNHEP Tuaran, Saripudin Moleng berkata, serbuan dibuat hasil daripada aduan orang ramai dan risikan yang dijalankan selama tiga hari termasuk penyamaran di media sosial.
"Hasil maklumat, sebanyak 96kg gula pasir kasar ditemui di dalam kenderaan dan seorang lelaki tempatan turut ditahan selepas disyaki menjual gula tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.
"Suspek juga didapati telah menjual gula terbabit mencecah sehingga RM5 bagi setiap satu kg mengikut lokasi pembeli dan harga itu melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM2.85," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.
Hasil daripada siasatan lanjut juga mendapati suspek menjual gula itu secara tempahan di sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
"Nilai keseluruhan sitaan lebih RM12,000 termasuk 96 kilogram gula berjumlah RM273.60," katanya.
Saripudin dalam pada itu turut memberi amaran dan peringatan tegas kepada pihak tertentu supaya tidak mengambil kesempatan ketika berhadapan pandemik Covid-19 dengan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum.
"Selain itu, orang ramai juga diminta supaya tidak menyorokkan barang kawalan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!