Hujan mengiringi keberangkatan tiba Raja-Raja Melayu
KUALA LUMPUR - Meskipun hujan lebat, anggota polis dan petugas media tetap setia menunggu keberangkatan tiba Raja-Raja Melayu di Istana Negara bagi menghadiri perbincangan khas dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 2.30 petang Jumaat.
Beberapa anggota polis yang berbaris di hadapan pintu 1, Istana Negara memakai pakaian hujan sepanjang menyambut ketibaan dan mengiringi kemasukan kenderaan membawa Raja-Raja Melayu.
Tidak ketinggalan, petugas media pelbagai agensi juga bertungkus lumus untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan keadaan semasa negara.
Difahamkan, petugas media telah menunggu di luar pekarangan Istana Negara bermula jam 10 pagi lagi bagi berkongsikan perkembangan lanjut kepada orang ramai.
Sebentar tadi, kelihatan enam kenderaan rasmi yang membawa sultan dan juga pemangku ke Istana Negara bermula jam 1.56 petang sehingga 2.33 petang.
Rakyat Malaysia hari ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang di Istana Negara bagi membincangkan isu semasa termasuk calon Perdana Menteri Kesembilan.
Perbincangan khas kali ini diadakan susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 16 Ogos lalu yang hilang majoriti apabila terdapat ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadapnya.
[LIVE] Perkembangan terkini pertemuan dan mesyuarat Raja-Raja Melayu menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur https://t.co/sve9xMIcnp
— SinarOnline (@SinarOnline) August 20, 2021
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!