Temu bual dengan Agong sepatutnya dirahsiakan

Hasanuddin Mohd Yunus
Hasanuddin Mohd Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Rakaman video seorang ahli Parlimen sedang ditemu bual oleh Yang di-Pertuan Agong yang tular di media sosial sepatutnya menjadi privasi kerana ia membabitkan urusan negara.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus sehubungan itu menyarankan orang ramai yang menerima rakaman video perbualan tersebut agar segera memadamkannya.

"Saya merayu kepada saudara sekalian sekiranya menerima satu rakaman perbualan wakil rakyat dengan Yang di-Pertuan Agong tolong jangan tularkan sebaliknya padam rakaman berkenaan.

"Kami rakyat Malaysia dan saya selaku ahli Parlimen merayu, perbuatan itu sepatutnya menjadi privasi antara Yang di-Pertuan Agong yang telah mencemar duli untuk menghubungi wakil-wakil rakyat dalam urusan negara," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Khamis, tular satu video ahli Parlimen daripada sebuah parti yang dilihat seolah-olah melanggar arahan yang telah dikeluarkan sebelum itu agar merahsiakan sokongan mereka.

Dalam video berdurasi satu minit lima saat itu, ahli Parlimen terbabit sedang ditemu bual Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan sokongannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Dalam pada itu, Hassanuddin yang juga merupakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan adalah sangat tidak wajar perbualan dengan Yang di-Pertuan Agong ditularkan.

"Saya tidak pasti ia disengajakan atau tidak disengajakan sama ada pegawai kepada ahli Parlimen terbabit atau pegawai di pejabat parti ahli Parlimen itu yang menularkannya.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang penting, marilah kita menghormati, junjung kasih Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan tugas dan peranan baginda," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!