Kelonggaran, Delta mengganas punca peningkatan kes

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Beberapa negeri yang merekodkan peningkatan kes ketara iaitu Perlis, Sabah dan Sarawak pada kebelakangan ini disebabkan oleh beberapa kelonggaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih memburukkan keadaan, varian Delta terus mengganas menjangkiti individu lain.

Menjelas lanjut, katanya, peningkatan kes positif di Perlis berpunca akibat pergerakan antara negeri.

"Perlis (sebelum ini) hijau tetapi apabila dine-in dibenarkan, berlaku pergerakan," katanya pada Jumaat.

Seterusnya, jelas beliau ia telah membuka ruang kepada varian Delta untuk menjangkiti orang lain.

"Apabila berlaku perhimpunan dan pergerakan, wujud ruang dijangkiti varian Delta dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan beberapa soalan pemberita melalui aplikasi WhatsApp mengenai peningkatan kes di ketiga-tiga negeri tersebut.

Tambahnya, penduduk di negeri Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak boleh alpa dan harus mematuhi kesemua langkah pencegah kesihatan awam serta tingkatkan usaha vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

"Jika tidak, jangkitan akan terus merebak dalam komuniti lebih-lebih lagi dengan varian Delta yang dominan," katanya.

Pada 16 Julai lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meramalkan kes harian positif Covid-19 memuncak pada angka 24,000 kes sehari pada pertengahan September.

Bagaimanapun, unjuran terbaharu yang dikeluarkan oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) pada awal Ogos menunjukkan kes harian negara akan mencapai sehingga 28,000 kes penghujung September ini sekiranya kadar pemberian dos kedua vaksin berada pada 100,000 sehari.

Sementara itu, Sekreteriat Jabatan Pengurusan Bencana Sarawak memutuskan memperketatkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) dengan menarik balik kebenaran dine-in di beberapa daerah.

Dalam kenyataannya, sekreteriat itu berkata, tempoh operasi turut dipendekkan dari jam 5 pagi sehingga 8 malam selain individu atau berkumpulan tidak dibenar berada di tempat awam selepas jam 10 malam tanpa alasan munasabah.

Keputusan itu berkuat kuasa selama seminggu bermula 22 Ogos di Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!