Bersatu selar Mahfuz, Ambiga pertikai sokongan bersyarat PN

Dr Muhammad Faiz Na'aman
Dr Muhammad Faiz Na'aman
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyelar tindakan Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yang mempertikaikan sokongan bersyarat Perikatan Nasional (PN) terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku calon Perdana Menteri kesembilan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na'aman berkata, ini kerana kehendak Istana Negara mengenai sokongan tanpa syarat itu ditujukan untuk ahli-ahli Parlimen secara individu, bukannya kumpulan politik.

"Sepertimana rakyat di negara ini, Istana Negara juga terikat dengan Perlembagaan Persekutuan yang tidak menghalang mana-mana kelompok untuk menetapkan apa-apa syarat untuk menyokong mana-mana individu sebagai perdana menteri.

"Bezanya sama ada syarat itu diumumkan atau tidak saja. Syarat pula tidak semestinya berupa ugutan. Memadai sekadar menekankan prinsip serta nasihat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam kenyataan yang sama juga, beliau turut menjelaskan bahawa syarat yang ditetapkan PN terhadap Ismail Sabri itu tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

"Apakah meminta bakal Perdana Menteri supaya memilih individu yang berintegriti menyertai kabinet itu salah?

"Adakah menyeru prinsip Raja Berperlembagaan itu tidak betul? Yang pasti tiada pun ayat berbaur ugutan terhadap tuan punya badan. Kenapa pula Ambiga dan Mahfuz yang 'sentap', " soalnya.

Sementara itu, Faiz turut menyifatkan kononnya kerajaan perpaduan atau kabinet perang itu diperlukan demi kestabilan politik juga hanyalah retorik pihak pembangkang yang sebenarnya menjadi punca riuh rendah suhu politik negara.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, mereka yang berkomplot untuk menggoyang dan menjatuhkan kerajaan adalah golongan yang sama juga mahu penyatuan setelah menghidu peluang untuk ke Putrajaya.

"Jika benar mahu membantu pemulihan negara daripada masalah wabak Covid-19 dan kesan ekonomi daripadanya, kenapa tidak memainkan peranan selaku wakil rakyat serta pembangkang yang membina?

"Kenapa dalam Parlimen dan dalam media semua usaha kerajaan dihentam belaka?

"Tetapi dalam waktu yang sama simpan pula niat untuk menyertai kerajaan PN atas nama kerajaan perpaduan. Ini oportunis dan munafik namanya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!