AS tawar lebih RM21 juta jika Indjai dapat ditangkap
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menawarkan ganjaran sebanyak AS$5 juta (RM21.10 juta) untuk sebarang maklumat sehingga tertangkapnya bekas ketua tentera Guinea-Bissau yang pernah melakukan rampasan kuasa di negara itu, Antonio Indjai.
Dia dikehendaki oleh AS kerana dituduh terlibat menyimpan dadah bagi pihak anggota-anggota pemberontak Angkatan Bersenjata Revolusi (FARC) di Colombia.
Sebelum ini pihak pendakwa raya AS memfailkan dakwaan terhadap Indjai pada tahun 2013 dengan menuduh Indjai bersetuju untuk menyimpan bertan-tan kokain untuk FARC.
Wang hasil penjualan kokain itu digunakan untuk membeli senjata untuk FARC dan membayar gaji para kakitangan kerajaan di Guinea-Bissau.
Menurut satu kenyataan Jabatan Negara AS, dia dituduh melakukan aktiviti-aktiviti haram, rasuah dan menyebabkan ketidakstabilan beberapa kerajaan asing serta melanggar kedaulatan undang-undang di Afrika Barat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah melarang dia melakukan perjalanan keluar dari negaranya pada tahun 2012 ekoran penglibatannya dalam rampasan kuasa di Guinea-Bissau pada tahun 2012. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!