Fenomena kepala air: Mangsa mula bersihkan kediaman

Seorang penduduk sedang membersihkan rumah di Taman Lembah Merbok yang dilanda banjir lumpur akibat fenomena kepala air.
Seorang penduduk sedang membersihkan rumah di Taman Lembah Merbok yang dilanda banjir lumpur akibat fenomena kepala air.
A
A
A

MERBOK - Mangsa yang terjejas akibat fenomena kepala air Gunung Jerai mula melakukan kerja-kerja pembersihan selepas rumah dilanda banjir lumpur sejak Rabu.

Penduduk Kampung Singkir Genting, Azman Abdullah, 59, berkata, kebanyakan penduduk mula membersihkan kediaman dengan bantuan ahli keluarga atau khidmat petugas sukarelawan.

"Hari ini kami bekerjasama mencuci rumah tetapi ada juga yang masih berlumpur. Kami lakukan mana yang boleh,"katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Ditanya sama ada kewujudan kuari atau projek pembalakan yang menjadi punca kepada kejadian itu, katanya kemungkinan ia fenomena alam.

"Tahun 80-an ada projek balak tapi sekarang sudah tidak ada, kuari pula di kaki gunung sedangkan kepala air berpunca dari puncak gunung," jelasnya.

Pekerja Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah melakukan kerja-kerja pembersihan ke rumah mangsa terjejas fenomena kepala air di Merbok, Kedah.
Pekerja Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah melakukan kerja-kerja pembersihan ke rumah mangsa terjejas fenomena kepala air di Merbok, Kedah.

Sementara itu, Norkufazli Zakaria, 37, berkata, kampung berkenaan kerap dilanda kejadian kepala air namun tidak seteruk kali ini.

"Dua kali berlaku kepada kami pada Rabu, iaitu jam 3 petang dan 5 petang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kebanyakan rumah berdekatan tebing sungai terjejas teruk termasuk di kampung berkenaan.

"Saya rasa tidak ada projek balak cuma fenomena kepala air dari puncak bukit sehingga menjejaskan sebahagian kawasan Yan, Merbok dan Gurun," katanya.

Azman (kanan) memeriksa perkakas rumah yang rosak akibat fenomena kepala air di Kampung Singkir Genting, Kedah.
Azman (kanan) memeriksa perkakas rumah yang rosak akibat fenomena kepala air di Kampung Singkir Genting, Kedah.

Dalam kejadian Rabu lalu, ratusan buah rumah terjejas terkena banjir lumpur akibat fenomena kepala air sehingga membabitkan kira-kira 1,000 buah keluarga di daerah Yan dan Kuala Muda.

Setakat ini, empat mangsa meninggal dunia sementara dua masih hilang dan seorang lagi dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan pelbagai agensi di lokasi terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!