Selepas angkat sumpah, Ismail Sabri hadir mesyuarat penting UMNO

Ismail Sabri. - Foto Bernama
Ismail Sabri. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia akan menyaksikan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada jam 2.30 petang esok.

Istiadat tersebut akan diadakan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail Sabri dijangka ditemani isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Antara yang bakal turut serta pada istiadat itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Bagaimanapun, selepas istiadat selesai, Ismail Sabri perlu berada di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Mesyuarat yang dijangka berlangsung pada jam 8 malam itu masih belum diketahui secara rasmi mengenai agenda yang bakal dibincangkan.

Bagaimanapun beberapa pemimpin UMNO yang dihubungi Sinar Harian memberitahu, ia ada kaitan dengan langkah seterusnya bagi parti tersebut yang kembali menguasai kerajaan selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Antara yang menjadi persoalan penting ialah nama kerajaan yang bakal dibentuk itu sama ada menggunakan Kerajaan BN, Kerajaan PN atau mungkin satu nama yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

Selain itu perkara yang akan turut dibincangkan ialah pembentukan Kabinet termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Turut menjadi perhatian ialah sokongan bersyarat yang diumumkan oleh Perikatan Nasional yang mahu supaya Kabinet yang dibentuk itu terdiri daripada individu yang mempunyai integriti yang tinggi.

Ismail Sabri juga berdepan dengan situasi yang amat sukar kerana negara masih belum bebas daripada ancaman Covid-19 dan masalah ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!