Jiwa kena ampuh

De Paula antara tiga pemain naturalisasi Harimau Malaya yang beraksi pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai Jun lalu. FOTO: FB FAM, gambar kecil: Hashim
De Paula antara tiga pemain naturalisasi Harimau Malaya yang beraksi pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai Jun lalu. FOTO: FB FAM, gambar kecil: Hashim
A
A
A

SETIAP pemain tanpa mengira status sama ada tempatan, berdarah warisan (kacukan) atau naturalisasi harus mempunyai jiwa yang utuh apabila dipilih menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Menurut legenda bola sepak kebangsaan, Hashim Mustapha, perkara itu antara aspek penting bagi memastikan pemain yang dipilih menyarung jersi Malaysia menampilkan aksi terbaik.

“Kita tak boleh salahkan sepenuhnya pemain naturalisasi jika pasukan kebangsaan tidak beraksi dengan baik. Setiap anggota pasukan termasuk pemain harus mengambil tanggungjawab bersama.

“Bagi saya, jiwa itu sangat penting. Apabila bermain dengan sepenuh jiwa, ia secara tidak langsung akan memberikan semangat luar biasa kepada seseorang pemain itu.

“Semua pemain kena ada jiwa untuk main dengan pasukan kebangsaan. Macam pemain warisan, dia ada pertalian darah dengan Malaysia, sama ada ibu bapa atau nenek dan datuk mereka dilahirkan di negara ini.

“Pemain-pemain tempatan sepatutnya tidak ada masalah kerana jiwa mereka sememangnya sudah ada. Bila ada jiwa, baru boleh pupuk untuk menanam semangat mewakili Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Hashim berkata, keputusan FAM menangguhkan sementara program naturalisasi Harimau Malaya secara tidak langsung membuka ‘pintu’ lebih luas kepada pemain tempatan untuk mewakili skuad kebangsaan.

“Pemain-pemain tempatan kena ambil kesempatan atas keputusan FAM itu. Ini adalah satu perkembangan yang baik kerana memberikan mereka peluang untuk beraksi dengan pasukan kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Lagipun pemain tempatan ini dah ada jiwa, cuma dari segi minit permainan masih belum mencukupi. Saya lihat, pemain-pemain tempatan ini tidak banyak diberikan minit untuk bermain dengan pasukan masing-masing.

“Mereka lebih banyak berada di bangku simpanan. Selepas itu, apabila mendapat panggilan skuad kebangsaan, mereka berlatih dalam tempoh yang singkat dan terus bermain pada perlawanan kompetitif.

“Disebabkan itu, kita dapat lihat ada pemain yang kurang menyerlah disebabkan dia tidak dapat minit permainan yang cukup dalam liga domestik,” ujarnya.

Pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Harimau Malaya dibarisi tiga pemain naturalisasi - Mohamadou Sumareh dari Gambia, Liridon Krasniqi (Kosovo) dan Guilherme de Paula (Brazil).

Pada masa sama, Hashim bersetuju dengan keputusan FAM untuk meneruskan pencarian pemain berdarah warisan yang dilihat menjadi antara tunjang kekuatan Harimau Malaya sejak beberapa tahun lalu.

“Seperti yang saya katakan tadi, pemain warisan ini mempunyai naluri istimewa kerana mereka mempunyai pertalian darah keluarga dengan ahli keluarga yang lahir di Malaysia.

“Kita ada beberapa pemain kacukan yang menonjol, jadi FAM harus teruskan perkara yang baik jika ia dianggap baik dan positif buat pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!