Kerajaan perpaduan awam-tentera Myanmar sukar dibentuk
DALAM mencari perdamaian antara junta dan penduduk Myanmar, pembentukan kerajaan perpaduan awam-tentera dapat menjadi titik permulaan. Namun, di negara yang bergolak sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari lalu, ramai berpendapat ia idea yang tidak masuk akal.
Lebih-lebih lagi ketika kemarahan terhadap tentera atau tatmadaw, masih mendalam, kerana lebih 900 orang telah terbunuh dalam protes terhadap kerajaan pimpinan Jeneral Min Aung Hlaing.
Pengarah Institut Pengajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin mengakui bukanlah satu tugas mudah untuk mewujudkan platform bersama bagi membentuk kerajaan perpaduan di Myanmar.
Beliau berkata, ini kerana terdapat begitu banyak puak iaitu puak tentera yang dominan dan kumpulan kecil masyarakat awam dan golongan populis.
"Keadaan lebih sukar untuk mengakhiri keganasan kerana sub-etnik yang berbeza seperti Shan, Karen dan Rohingya yang akan terus berjuang mendapatkan pengiktirafan kerajaan pusat Myanmar.
"Inilah yang akan kita lihat, pertumpahan darah akan terus berlaku di banyak kawasan kerana Myanmar tidak homogen dan bersatu seperti yang kita bayangkan," katanya.
Sebaik-baiknya ketika ini kerajaan perpaduan adalah jalan terbaik untuk menyatukan semua pihak. Namun, ia hanya mungkin dapat dilakukan jika semua pihak dapat duduk bersama berunding dan menumpukan kepada mencari jalan penyelesaian krisis secara aman.
"Jika mereka dapat menggunakan prinsip saling mempercayai, berunding dan mencari jalan serta mewujudkan kebersamaan, maka kerajaan awam-tatmadaw dapat dizahirkan dan bukan sekadar imaginasi semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, selain konflik awam, pandemik Covid-19 juga memburukkan lagi keadaan di Myanmar.
Katanya, tanpa sokongan rakyat, Myanmar tidak dapat menangani pandemik itu secara sistematik seperti negara-negara ASEAN lain.
"Junta perlu memandang serius perkara itu dengan menanganinya sebagai masalah negara atau ia akan memberi kesan terhadap masyarakatnya.
"Mungkin, COVID-19 boleh dijadikan alasan untuk menyatukan semua pihak kerana virus ini adalah musuh semua tanpa mengira fahaman politik dan etnik," katanya.
Mengenai pelantikan Menteri Luar II Brunei, Erywan Mohd Yusof sebagai duta khas ASEAN ke Myanmar, beliau berkata, ia peluang besar bagi Brunei berkongsi kemampuannya dalam mencari jalan penyelesaian di Myanmar.
"Pelantikan berkenaan adalah pilihan yang baik kerana kita tidak pernah menghadapi masalah serius di ASEAN dengan penyertaan dan kepimpinan dari Brunei.
"Masyarakat melihat Brunei sebagai negara yang aman dan damai... jadi beliau mungkin boleh berkongsi apa yang telah dilakukan Brunei sehingga masyarakatnya aman dan harmoni," tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!