Kerajaan Perak diminta bantu pekerja hotel
IPOH - Kerajaan Perak digesa membantu industri pelancongan di negeri berkenaan terutama sektor perhotelan dengan memberi keutamaan kepada mereka supaya segera menerima vaksin.
Pengerusi Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak, Zamari Muhyi berkata, sektor perhotelan merupakan kumpulan paling terkesan di dalam industri pelancongan malah terdapat dalam kalangan mereka yang terpaksa menutup operasi.
Kata beliau, amat wajar sekiranya kerajaan negeri membantu pemain industri ini supaya kegiatan pelancongan dalam negeri dapat dipulihkan dengan segera.
"Kami menyedari bahawa prosedur operasi standard (SOP) bagi premis penginapan perhotelan untuk fasa dua Pelan Pemulihan Negara yang dikeluarkan sangat tidak praktikal digunakan untuk pengusaha hotel.
"Masih ramai pekerja hotel yang masih belum lagi divaksin dan masih menunggu janji temu. Pertimbangkanlah pemberian vaksin secara berkelompok melibatkan kakitangan hotel ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Zamari berkata, MyBHA sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan hasrat semua pekerja hotel divaksin dicapai secepat mungkin.
Sementara itu, beliau berharap kerajaan dapat mengeluarkan SOP lebih realistik dengan situasi semasa vaksinasi kakitangan hotel supaya tidak membebankan pengusaha.
Menurutnya, pihak pengusaha hotel sangat memikirkan soal keselamatan berbanding keuntungan agar industri pelancongan dapat berjalan dalam tempoh masa panjang.
Pada Khamis, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi akaun Facebooknya berkongsi mengenai SOP bagi premis penginapan perhotelan untuk fasa dua Pelan Pemulihan Negara.
Antara perkara mesti dipatuhi di dalam SOP tersebut ialah pemilik hotel wajib mempamerkan sijil lengkap vaksinasi bagi pekerja hotel sepertimana yang disyaratkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!