Pelantikan PM diharap hentikan spekulasi: Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU - Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 diharap menamatkan segala spekulasi yang timbul selama ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau turut berharap pelantikan tampuk kepimpinan baharu itu dapat memberi fokus terhadap agenda menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat.
"Diharapkan pelantikan ini akan menamatkan segala spekulasi dan semua barisan pimpinan dapat bekerjasama serta bersatu hati untuk lebih fokus kepada agenda memulihkan negara daripada pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat.
"Semoga diberikan kemudahan dan petunjuk daripada-Nya untuk meneraju negara tercinta dengan amanah dan bijaksana. Berjalanlah di atas keberkatan ALLAH SWT," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau mewakili seluruh kepimpinan kerajaan Terengganu merakam penghargaan atas pelantikan itu.
Katanya, kerajaan negeri turut menyatakan penghargaan atas usaha Yang di-Pertuan Agong dalam membantu negara berdepan krisis politik.
"Saya mewakili kerajaan Terengganu ingin merakamkan setinggi ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
"Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah atas perkenan dan kebijaksanaan menyelesaikan kemelut politik negara ini, " katanya.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Jumaat berkata, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!