Pandemik hendaklah menginsafkan pemimpin: Sultan Nazrin
IPOH - Pandemik Covid-19 yang sedang dihadapi ketika ini seharusnya menginsafkan para pemimpin yang diamanahkan dengan tanggungjawab, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurut baginda, mereka perlu melakukan penetapan semula perkara-perkara yang perlu diutamakan dalam urus tadbir negara berteraskan prinsip keadilan iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan menyerahkan amanah kepada yang ahli dalam bidangnya.
Jelas baginda, karya Mukaddimah yang dihasilkan oleh Ahli Falsafah terkenal Ibnu Khaldun pada 800 tahun yang lalu mengaitkan bencana dengan perubahan sosial yang membentuk lima fasa.
Baginda bertitah, pada fasa pertama adalah suatu kaum bersandarkan semangat asabiyah bergerak membentuk identiti politik diikuti fasa kedua iaitu bermulanya perluasan kuasa, pengaruh dan wilayah, kemudian fasa ketiga kerajaan melalui zaman kemewahan dan kesenangan hasil pemerintah sebelumnya manakala fasa keempat merupakan fasa kelalaian dan berpuas hati dengan pencapaian serta fasa terakhir merupakan fasa kejatuhan dan kehancuran sesebuah identiti politik dan kerajaan.
"Ibnu Khaldun memberikan peringatan bahawa lima fasa tersebut akan berulang. Setiap tamadun dan setiap identiti politik akan menghadapinya dalam kitaran sejarah.
"Manusia, pada saat menghadapi bencana berat yang sedang melanda ini, wajib mendalami lubuk hati, menyelami daya fikir, agar dapat menginsafi tentang kemungkinan jatuhnya sesebuah identiti politik, kerajaan, negara dan tamadun, jika sesebuah negara tidak memiliki cukup persediaan dan kekuatan," titah Sultan Nazrin pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-13 secara maya pada Sabtu.
Titah baginda yang merupakan Canselor USAS itu dibacakan oleh Pro-Canselor USAS, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.
Sementara itu, Sultan Nazrin mengingatkan para graduan agar sentiasa menghargai jasa serta pengorbanan pelbagai pihak seperti ibu bapa, guru, mahaguru, penaja dan pembiaya yang berperanan penting di belakang kejayaan mereka.
Baginda bertitah agar golongan graduan tidak bersifat seperti kacang lupakan kulit dengan cepat bersifat sombong dan berlagak angkuh.
"Jawatan, pangkat dan kekayaan jangan sampai menukarkan sifat-sifat mulia insani. Amalkan sifat merendah diri, sifat cepat memohon maaf bila melakukan kesilapan, sifat rendah diri yang insaf dirinya seorang hamba dan sifat bersedia menerima nasihat meskipun datangnya daripada seseorang yang pada zahirnya kelihatan berkedudukan lebih rendah daripada kita.
"Terimalah setiap nasihat, lebih-lebih lagi teguran sebagai peringatan untuk menjauhkan kita daripada hanyut dan tenggelam dalam khayalan kejayaan dan kehebatan," titah baginda.
Baginda turut bertitah agar para graduan bersedia menghadapi realiti dunia kerana ijazah yang diperoleh belum dapat menjamin kejayaan hakiki.
Menurut baginda, dunia merupakan tempat pertarungan kekuatan sama ada berbentuk idea, pengetahuan, usaha dan sumber yang menjadi gelanggang persaingan pemikiran untuk meneroka, menerima atau menolak kebenaran.
Titah baginda, tidak ada tempat di dunia ini bagi mereka yang cepat berputus asa dan lemah semangat sebaliknya, dunia merupakan arena bagi mereka yang berjaya mempersiapkan diri dengan 'survival skills', iaitu menguasai kemahiran, bijak mengimbangi proses tawar menawar ketika menghadapi cabaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!