Bot mewah terbakar
KOTA KINABALU - Sebuah bot mewah yang sedang berlabuh musnah terbakar dalam kejadian di perairan berhampiran Kampung Torong Logong, Pulau Gaya, di sini pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi, bot yang menawarkan aktiviti percutian itu terbakar secara tiba-tiba sebelum disedari penduduk berhampiran yang kemudian berusaha memadamkan api.
Mereka kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pihak bomba.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi melalui Jeti Jesselton dengan menaiki bot Pasukan Polis Marin (PPM).
"Api berjaya dikawal dalam operasi pemadaman pada jam 10.37 pagi tetapi hampir 90 peratus bot itu terbakar," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurutnya, tiada kemalangan membabitkan nyawa dilaporkan dan kerugian masih disiasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!