Bencana banjir besar harus dijadikan iktibar: Sultan Kedah
ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan dukacita terhadap tragedi banjir besar akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai, pada Rabu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Bakar Din berkata, baginda berharap tragedi itu menjadi iktibar kepada semua pihak supaya menghargai khazanah alam semula jadi serta memulihara alam sekitar.
Menurutnya, baginda turut bertitah agar rakyat di kawasan terlibat bencana sentiasa berhati-hati dengan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.
“Baginda berpesan agar mangsa terlibat turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19 kalangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Pejabat Tuanku Sultan Kedah pada Sabtu.
Bakar berkata, Sultan Sallehuddin turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa terlibat dan berharap agar mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini.
“Baginda berharap dan berdoa agar individü yang masih hilang dalam kejadian itu dijumpai dalam keadaan selamat,” katanya.
Menurutnya, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerapan negeri Kedah, kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan, petugas keselamatan serta syarikat swasta dan individu yang mengambil tindakan segera membantu mangsa tragedi.
“Baginda juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada negeri-negeri lain yang menghulurkan bantuan kepada Kedah. Semoga ALLAH SWT dapat memberikan ganjaran buat mereka semua,” katanya.
Kejadian yang berlaku pada petang Rabu itu menjejaskan dua daerah, iaitu Kuala Muda membabitkan 16 keluarga manakala di daerah Yan yang dianggarkan sebanyak 890 keluarga dari 24 buah kampung.
Tragedi itu turut mengorbankan empat mangsa setakat ini, manakala dua lagi dilaporkan masih hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!