Pembangkang perlu bekerja lebih gigih untuk PRU15

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri menjadi cabaran untuk pembangkang bekerja lebih gigih bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangkang mengambil maklum bahawa keputusan pelantikan tersebut dibuat menurut lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan sistem Raja Berperlembagaan.

“Dengan penuh takzimnya, saya mewakili pembangkang keseluruhannya menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Bagi pihak pembangkang, ini adalah cabaran untuk kita bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi PRU15,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengesahkan beliau dan barisan kabinetnya telah meletak jawatan secara rasmi pada Isnin.

Pada Jumaat, Seri Paduka Baginda berkenan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, rakyat perlu berdoa dan berusaha supaya krisis pandemik Covid-19 dan ekonomi negara dapat diatasi dengan segera.

“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang diterima pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!