Pembangkang kesal sidang DUN Melaka tangguh

Adly
Adly
A
A
A

MELAKA - Tindakan kerajaan negeri Melaka menangguhkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sepatutnya berlangsung awal bulan September amat dikesali.

Ketua Pembangkang, Adly Zahari berkata, persidangan DUN yang dijadualkan pada 6 hingga 9 September depan telah ditangguhkan kepada 20 September.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan Negeri Melaka telah mengemukakan sebanyak 110 soalan lisan dan 165 soalan bertulis kepada urusetia DUN Melaka.

"Kita telah menghantar semua soalan yang merangkumi pelbagai isu semasa, khususnya isu berkaitan kesihatan seperti pengurusan Covid-19 dan program vaksinasi, serta isu-isu berkaitan ekonomi, pendidikan dan kebajikan.

"Sebagai sebuah negeri pelancongan, Melaka adalah antara negeri yang sangat terkesan dengan pandemik Covid-19. Penangguhan Persidangan DUN menjejaskan peluang semua pihak untuk mendapatkan maklumat mengenai pengurusan Covid-19 termasuk program vaksinasi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat juga mahu mengetahui perancangan kerajaan negeri mengenai penjanaan ekonomi semasa pandemik dan pasca Covid-19 serta pelan pemulihan ekonomi termasuklah fasa-fasa yang dirancang.

Katanya, Sidang DUN sepatutnya menjadi wadah untuk perbincangan, perbahasan, serta mengembleng usaha semua pihak dalam menangani wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi rakyat.

"Penangguhan Persidangan DUN tanpa alasan yang munasabah amatlah kami kesali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan berlangsung selama lima hari bermula pada 6 September depan.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Rauf Ab Jusoh dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Sebelum ini sidang DUN dijangka berlangsung pada pertengahan Julai lalu dengan kali terakhir dilaksanakan pada awal Disember tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!