Maritim selamatkan dua pemancing terkandas di laut
KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan dua pemancing yang terkandas di tengah laut selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan kira-kira 20 batu nautika timur Gebeng di sini pada Jumaat.
Mangsa berusia 37 dan 47 tahun ditemui kira-kira jam 9 malam oleh anggota Maritim selepas tiga jam operasi mencari dan menyelamat (carilamat) digerakkan.
Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pihaknya mengaktifkan operasi carilamat selepas menerima maklumat berhubung kejadian.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, dua pemancing tersebut terkandas di tengah laut selepas bot mereka mengalami kerosakan enjin.
"Salah seorang mangsa bertindak menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan selepas enjin bot gagal dihidupkan.
"Sepasukan anggota bersama bot ronda (bot kilat) diatur gerak ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan operasi carilamat sebelum kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat kira-kira 4 batu nautika utara Gebeng," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.
Amran berkata, semua mangsa dinaikkan ke bot kilat dan dibawa ke jeti Sungai Ular di sini, manakala bot mereka yang rosak ditunda ke lokasi sama untuk dibaiki.
"Maritim Malaysia sentiasa bersiap-sedia memberikan perkhidmatan dan bantuan kepada masyarakat terutama komuniti laut serta agensi-agensi kerajaan yang mengalami kecemasan di laut," katanya.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan atau kegiatan jenayah di laut boleh terus disalurkan melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian bantuan kecemasan MERS 999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!