21 kes positif covid-19 babitkan petugas kesihatan di HSA Johor

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 21 petugas kesihatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dikesan positif Covid-19 membabitkan Kluster Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan di sini sejak semalam (Jumaat).

Pengarah HSA Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, menerusi hantaran di laman Facebook rasmi hospital itu, berkata kluster tersebut dikesan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA.

"Susulan itu, aktiviti saringan termasuk pengesanan kontak dijalankan. Pengurusan HSA telah bertindak segera untuk mengawal serta mengekang penularan jangkitan Covid-19 di fasiliti tersebut.

"Langkah-Langkah kawalan merangkumi mengenal pasti dan melakukan saringan calitan tekak terhadap kontak rapat di tempat kerja, rumah dan sosial. Selain itu, tindakan merawat, pemantauan dan kuarantin dijalankan mengikut kategori pesakit dan kontak," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja sanitasi dan nyah kuman telah dilakukan di semua lokasi yang terlibat serta pengoperasian Jabatan Kecemasan dan Trauma tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

Unit Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan Persekitaran akan memantau tahap kesihatan semua petugas termasuk amalan kawalan infeksi diperketat dan dipantau Unit Kawalan Infeksi dalam kalangan kakitangan serta petugas kesihatan.

"Pihak pengurusan menyeru orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard dan mengamalkan norma baharu yang ditetapkan di mana sahaja mereka berada walaupun sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan, terdapat kluster baharu di daerah Johor Bahru iaitu Kluster Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!