China berjaya laksana aktiviti di angkasa lepas
BEIJING - Angkasawan China, Nie Haisheng dan Liu Boming selamat kembali ke modul teras stesen angkasa Tianhe pada 2.33 petang Jumaat, selepas berjaya melakukan aktiviti luar kenderaan (EVA) kali kedua selama enam jam.
Menurut Agensi Angkasa Lepas Bermanusia China (CMSA), aktiviti di luar kabin tersebut adalah untuk menguji prestasi unit mobiliti luar kenderaan (EMU) generasi baharu keluaran China dan memeriksa kemampuan anak kapal mengendalikan kerja yang dibantu dengan ‘lengan mekanik’ atau ‘mechanical arm’.
Selain itu, dua angkasawan tersebut juga meneliti kebolehpercayaan serta ciri-ciri keselamatan sesetengah kelengkapan yang menyokong EVA berkenaan.
Naib ketua pereka projek angkasa lepas bermanusia, Chen Shanguang berkata, anak kapal Shenzhou-12 akan meneruskan eksperimen sains dan ujian teknikal sebelum pulang ke bumi pada pertengahan September.
“Misi Shenzhou-12 merangkumi dua kali EVA. Kami akan terus menggerakkan program EVA untuk misi angkasa lepas Shenzhou-13.
“Kerja-kerja penentusahan teknologi EVA dijangka berakhir apabila misi Shenzhou-13 selesai dengan jayanya,” kata Chen.
Menurut beliau, pihaknya akan menumpukan fokus kepada pemasangan stesen angkasa lepas serta teknologi mengendalikannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!